ALOR SETAR - Kerajaan Kedah menganjurkan makmal peningkatan hasil negeri meliputi hasil daerah, hasil tanah dan hasil hutan untuk meningkatkan hasil dengan membentuk sebuah jawatankuasa bagi memastikan setiap syor diambil tindakan sewajarnya.
Menteri Besarnya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, hasil daripada makmal itu akan dijadikan pelan jangka pendek dan jangka panjang dalam usaha meningkatkan kutipan hasil.
"Tiga aspek utama kutipan hasil adalah mempermudahkan rakyat membayar hasil tanah dan daerah, menjadikan kawasan hutan simpan sebagai eko-pelancongan serta memperkemas Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1997 yang tidak disemak sejak 22 tahun lalu.
"Kekangan kita untuk majukan negeri adalah kewangan, disebabkan itu kita fikirkan kaedah menambah baik tatacara kutipan hasil menerusi tiga makmal ini,” katanya selepas majlis Penutup Makmal Peningkatan Hasil Negeri Kedah 2019, semalam.
Menurutnya, antara cadangan adalah menggiatkan usaha kutipan cukai tanah semasa dan tunggakan cukai menerusi Op Tunggak selain memperkemas deposit premium tanah berskala besar yang diyakini mampu menjana pendapatan.
"Kita akan perkasakan dan beri kesedaran kepada pembayar cukai, ini kerana tunggakan hasil cukai tanah sejak lebih 10 tahun mencecah RM59 juta.
"Pihak yang mahu bangunkan sebidang tanah yang luas boleh kemuka cadangan, kita akan kutip deposit premium supaya mereka serius menjayakan projek. Kita tak mahu selepas diberi kelulusan tanah, projek tak jalan sehingga bertahun, ini merugikan,” katanya.
Mukhriz berkata, aspek lain termasuk menilai semula prosedur operasi standard (SOP) dengan segerakan kelulusan bagi projek yang sebahagian premium sudah diambil sebagai deposit, namun belum dibincangkan dalam majlis mesyuarat kerajaan negeri.
"Kita juga akan perhalusi aktiviti kuari yang diakui berlaku ketirisan apabila hasilnya tidak seberapa namun aktiviti itu dilihat aktif. Kita akan giatkan penguatkuasaan kutipan levi terhadap pihak terlibat selain pelbagaikan sumber hasil baru diberikan perhatian, menerusi pemberian lesen pendudukan sementera (LPS).
"Jika ada syarikat mahu mengusahakan aktiviti ekonomi sementara, LPS boleh dikeluarkan dan dikenakan bayaran. Ini akan menguntungkan dua pihak contohnya, LPS untuk bangunkan ladang solar menjana pendapatan tinggi,” katanya.
Mukhriz berkata, pihaknya juga akan mengusulkan Kerajaan Pusat segera melunaskan bayaran tertunggak berhubung tanah berskala besar yang perlu dilupuskan kepada Kerajaan Persekutuan, contohnya Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim berdasarkan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP).
"Ada lagi beberapa projek pembangunan seperti Rubber City, terdapat bayaran tertentu yang perlu dilunaskan kerajaan Persekutuan kepada kita, harap dapat dipertimbangkan,” katanya.