'Sedia bertemu di platform digital bincang hala tuju dalam MN'

Iklan
Tengku Haphiz Tengku Putera

KUALA TERENGGANU - Ketua Pemuda UMNO dan Ketua Pemuda Pas Terengganu sedia bertemu di platform digital bagi menjelaskan hala tuju kedua-dua parti di dalam Muafakat Nasional (MN) di negeri ini.

Ketua Pemuda UMNO, Tengku Haphiz Tengku Putera berkata, isu berkaitan hala tuju dan kerjasama antara dua parti itu dalam MN perlu dihuraikan lebih terperinci.

Iklan
Iklan

"Saya telah berbincang dengan Ketua Pemuda Pas Terengganu, Nasir Abdul Razak dan kami bersetuju untuk sama-sama duduk di dalam satu forum membincangkan isu ini kerana ia perlu kepada huraian yang lebih mendalam bukan melalui komen ringkas.

"Mungkin kami bersemuka melalui saluran digital yang tidak bersifat partisan seperti medium digital Sinar Harian atau mana-mana medium yang sesuai bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sekali gus merungkaikan kegelisahan rakyat Terengganu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas petikan pendek ucapan Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sempena Majlis Amanat 500 jam Sanitasi Awam Pemuda UMNO Malaysia pada Jumaat yang ditularkan seolah-olah menyokong UMNO Terengganu menentang Pas dalam Pilihanraya Umum ke-15 (PRU-15).

Dalam pada itu, melalui status yang dimuat naik di laman Facebooknya pada Isnin beliau menegaskan, perpaduan ummah dan membentuk model politik Islam baharu serta mengukuhkan hubungan sesama bangsa lain yang menepati keluhuran demokrasi berperlembagaan adalah teras perjuangan pemuda UMNO Malaysia.

Iklan

"Hubungan Muafakat Nasional dijalinkan sejak 2018 tidak akan dimusnahkan hanya dengan seminit dua ucapan.

"Bagi Pemuda UMNO Terengganu, ucapan Ketua Pemuda UMNO Malaysia yang pendek dan ditularkan itu ibarat menceduk sebekas air di lautan yang luas, tidak menggambarkan seluruh kekayaan dan keindahan di dasarnya," jelasnya.

Ucapan ringkas Asyraf Wajdi berdurasi satu minit lapan saat ditularkan dan dikongsi Timbalan Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari di laman Facebooknya, pada Ahad.