SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki kesal apabila sebahagian video ucapannya dalam program tertutup bersama jentera dan kepimpinan Pemuda UMNO Terengganu disalahertikan.
Menurutnya, video ucapan yang disunting sebahagiannya sahaja memberi gambaran seolah olah hubungan UMNO dan Pas makin terlerai menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.
"Harus difahami konteks dan latar keseluruhan ucapan saya dalam program tertutup tersebut tatkala menerangkan akan keperluan jentera Pemuda UMNO untuk bersiap-siaga berhadapan dengan PRU15 iaitu 'kalau ditakdirkan UMNO terpaksa masuk ke gelanggang sebagai Barisan Nasional (BN) melawan Pas'," katanya di laman Facebooknya pada Ahad.
Pada Sabtu malam Asyraf mengadakan program tertutup bersama jentera dan kepimpinan Pemuda UMNO Terengganu sebelum sebahagian ucapannya ditularkan pada Ahad di platform media sosial.
"Alhamdulillah, bahawa UMNO Terengganu kalau dibunyikan semboyan dan dipalu gendang perang, kalau ditakdirkan kita terpaksa masuk dalam gelanggang dalam keadaan kita sebagai BN serta melawan Pas sebagai kerajaan negeri, UMNO Terengganu sudah bersiap-siaga," menurut Asyraf dalam ucapan tersebut.
ARTIKEL BERKAITAN: Usul UMNO putuskan hubungan dengan Bersatu jadi tumpuan PAU
Mengulas lanjut, Asyraf berkata, sebagai Ketua Jentera Pemuda BN dan UMNO, sudah tentu beliau perlu mempersiapkan minda Pemuda UMNO dengan beberapa kemungkinan senario yang boleh berlaku menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) berasaskan fakta-fakta semasa.
Beliau berkata, antaranya ia berdasarkan keputusan terkini Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang telah memutuskan hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam PRU15 akan datang.
"Jika keputusan tidak bersama Bersatu ini kekal, persoalan pokok adalah bagaimana pula pendirian Pas yang kini menjadi salah satu komponen dalam Parti Perikatan Nasional?
"Apakah Pas masih mahu mengekalkan kesepakatan dengan BN melalui Muafakat Nasional atau terus bersama PN menghadapi PRU15," soalnya lagi.
Asyraf berkata, apa jua senario seperti yang disebutkan itu, sudah tentu jentera Pemuda BN perlu bersiap-siaga untuk hadapi apa jua kemungkinan termasuk bersendirian sebagai BN.
"Walau bagaimanapun, Pemuda UMNO tetap menaruh harapan tinggi agar hubungan baik dan permuafakatan antara UMNO dan Pas yang dibina melalui akar umbi, sehingga termeterainya Piagam Maufakat Nasional pada 14 September 2019 atas linangan air mata, akan terus diperkukuh dan dipertahankan," katanya.