ALOR SETAR - Kerajaan negeri akan berbincang dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mendapatkan jalan penyelesaian terbaik berhubung isu penempatan masyarakat Melayu Islam Kedah (MIK) di Bukit Malut, Langkawi dan Kuala Sala, Yan yang berlanjutan sekian lama.
Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, masalah penempatan masyarakat MIK perlu diselesaikan bagi memastikan ia tidak menjadi tempat longgokan sampah, sekali gus memberi gangguan kepada penduduk lain.
Muhammad Sanusi berkata, pihaknya akan menyelesaikan masalah penempatan masyarakat MIK memandangkan menyedari masalah berkenaan telah lama berlaku namun masih tidak selesai sehingga kini.
"Misalnya, masyarakat MIK di Kuala Sala membina rumah di atas tanah rizab laut dan cara hidup mereka tidak berubah apabila masih mengamalkan budaya hidup Burma dan gemar membuang sampah di merata-rata meskipun telah tinggal di situ sekian lama.
"Kita dapati masyarakat MIK ini akan membuang sampah sarap mengikut suka hati mereka selagi masih boleh menggunakan laluan dan jalan di kawasan kediaman mereka,"katanya.
Beliau berkata sedemikian kepada pemberita selepas Majlis Program Santai Bersama Menteri Besar Kedah sempena Hari Hutan Antarabangsa Tahun 2021 di Dewan Seri Mentaloon, di sini pada Ahad.
Katanya, disebabkan itu, dia sememangnya berharap dapat menyelesaikan isu itu apabila mengalas tanggungjawab sebagai menteri besar, yang mana sesuatu usaha perlu dilakukan berhubung permasalahan terbabit.
Sehubungan itu, katanya, pihaknya berharap dapat menyelesaikan isu penempatan berkenaan, selain berusaha mengubah cara hidup diamalkan mereka ini supaya tidak mengganggu orang lain dan membuang sampah di lokasi dibenarkan.
Tambah beliau, kerajaan negeri akan menyelesaikan perkara ini dari masa ke masa dan kini telah meluluskan peruntukkan sebanyak RM89,000 untuk membersihkan kawasan penempatan MIK di Kuala Sala.
Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi bagaimanapun menjelaskan masyarakat MIK di Kuala Sala merupakan warganegara Malaysia dan memiliki kad pengenalan.
Difahamkan, terdapat lebih 400 penduduk yang diragui status kewarganegaraan menghuni 80 rumah berhampiran Kampung Seberang Jaya, Kuala Sala dipercayai sejak 20 tahun lalu.
Lokasi itu didakwa dijadikan lokasi mendarat pendatang Myanmar ke Semenanjung Malaysia selepas menjadikan Bukit Malut, Langkawi, sebagai tempat transit mereka