Kerjasama erat pacu kemasukan pelaburan berkualiti di Sabah

Iklan
Azmin (kiri) ketika mengadakan pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif SK Nexilis Kim Young-tae (kanan) hari ini. Foto Bernama

KOTA KINABALU - Kerjasama erat antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri Sabah telah memberi lebih banyak ruang bagi kemasukan pelaburan berkualiti tinggi ke negeri itu, kata Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, kemasukan pelaburan baharu berkualiti tinggi itu juga dapat mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing selain menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk tenaga mahir dalam kalangan warga Sabah.

Iklan
Iklan

"Saya yakin anak-anak Sabah berkemahiran serta berpotensi untuk turut terlibat dalam (pelaburan) industri teknologi tinggi ini dan perlu diberi peluang terbaik bagi mendapatkan pekerjaan berkualiti tinggi.

"Ada empat lagi (pelaburan) besar yang akan saya bincangkan dengan Ketua Menteri Sabah (Datuk Hajiji Noor) petang esok membabitkan minat (pelabur) ke Sabah. Ada beberapa perkara yang kita perlu selesaikan untuk menjadikan Sabah sebagai destinasi pelaburan,” katanya kepada pemberita di sini, pada Ahad.

Iklan

Beliau mengadakan pertemuan dengan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif SK Nexilis, Kim Young-tae.

Laporan sebelum ini menyatakan, SK Nexilis yang juga sebuah syarikat terkemuka dari Korea Selatan, bakal melabur RM2.3 bilion bagi pembinaan sebuah kilang kerajang tembaga di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) yang bermula pada Julai ini dan dijangka siap dalam masa dua tahun.

Iklan

Mengulas pelaburan SK Nexilis itu, Mohamed Azmin berkata pembinaan kilang itu akan melibatkan 5,000 tenaga kerja dan akan memberi peluang pekerjaan kepada 400 tenaga mahir apabila siap kelak.

"Pelaburan ini sudah pasti memberi kesan positif kepada Malaysia. Ini juga sekali lagi membuktikan bahawa pelabur asing cukup yakin kepada Malaysia dengan meletakkan pelaburan sebegitu besar.

"Malah, pelaburan sebanyak RM2.3 bilion itu juga merupakan antara yang terbesar bagi Sabah,” kata beliau. - Bernama