SHAH ALAM - Seramai 1,515 individu telah mendaftar dan 301 daripada mereka menjalani latihan kemahiran asas digital menerusi projek perintis #SayaDigital di bawah Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).
Pengerusi MDEC, Datuk Wira Dr Rais Hussin Mohamed Arif berkata, projek #SayaDigital yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Ogos tahun lalu itu bertujuan mengukuhkan asas literasi dan penggunaan digital selain meningkatkan pendapatan melalui penggunaan digital.
"Projek perintis #SayaDigital ini melatih masyarakat untuk memahami kemahiran digital menjelang Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0) serta musim pandemik Covid-19.
"Kemahiran digital ini penting dan selaras dengan Wawasan Kemakmuran 2030 dan juga MyDigital serta aspirasi Malaysi 5.0,” katanya pada program Hari Kesedaran Digital @ Desa Temuan pada Ahad.
Dalam pada itu, Rais Hussin berkata, gerakan #SayaDigital untuk memupuk kesedaran dan memperkasa rakyat dari golongan pemula digital (Digital novice) bagi memudahkan urusan harian.
Katanya, gerakan tersebut membawa mesej memudahkan kehidupan, meluaskan perniagaan menambah pendapatan dan memperkasakan kerjaya masa hadapan.
"#SayaDigital ini menyasarkan keluarga berpendapatan rendah (B40), keluarga tiada pendapatan, warga emas serta belia dan kanak-kanak. Program ini percuma untuk semua rakyat tanpa perlu bayar yuran sekalipun.
"Program yang ditawarkan seperti latihan kemahiran asas digital, latihan menambah pendapatan dan latihan meluaskan perniagaan, serta memperkasa kerjaya” katanya.
MDEC akan terus membantu serta memberi manfaat dalam normal baharu kepada rakyat dengan kemahiran digital.