KUALA LUMPUR - Pemaju hartanah, Mah Sing Group Bhd dan platform e-dagang, Lazada Malaysia akan bekerjasama untuk pembelian rumah dalam talian buat pertama kali di Asia Tenggara sempena Penjualan Akhir Tahun 12.12 bagi menampung permintaan bakal pembeli dalam talian.
"Kami berhasrat untuk menjadi inovatif dalam perniagaan kami dan ingin mencipta cara baru pengguna membeli-belah untuk rumah.
"Lebih separuh penduduk Malaysia membeli-belah dalam talian, jadi sebagai pemaju pertama untuk menjual rumah dalam talian di platform e-dagang seperti Lazada, memberikan kami kelebihan berbanding pemaju lain di Malaysia," kata Ketua Pegawai Eksekutif Mah Sing Group, Datuk Ho Hon Sang dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lazada Malaysia, Christophe Lejeune berkata, Lazada teruja untuk menjadi platform e-dagang pertama di rantau ini untuk menjual hartanah.
"Selepas sambutan hangat yang kami terima semasa Festival Beli-Belajh Lazada 11.11, kami meningkatkan usaha kami untuk memenuhi permintaan yang sentiasa berubah daripada pengguna mudah alih yang terus berkembang dan semakin berani.
"Pembeli Malaysia sedang mencari lebih banyak penyelesaian digital untuk semua keperluan gaya hidup mereka dan kami percaya kerjasama ini akan menjadikan rumah mampu milik lebih mudah diakses oleh pembeli rumah golongan muda," kata Lejeune.
Projek Mah Sing yang akan disenaraikan di Lazada untuk 12.12 termasuk M Vertica, Cheras; M Centura, Sentul; Sensa Residence @ Southville City, KL Selatan; M Aruna, Rawang; M Vista, Pulau Pinang dan Meridin East, Johor.
Pembeli yang berminat boleh pratonton rumah mulai 28 Nov 2018 dan membuat pembelian mulai 10 hingga 12 Disember 2018.
Pembeli rumah Mah Sing melalui Lazada akan menerima insentif eksklusif 5.0 peratus Lazada bernilai RM20,000 hingga RM30,000; insentif dalam talian yang terbesar yang pernah ditawarkan di Lazada.
Oleh itu, kami yakin bahawa ini boleh menarik pelanggan celik digital seramai mungkin sepanjang kempen tersebut berikutan ganjaran tambahan itu. - Bernama