Segera bina sistem saliran sawah

Iklan
Kekurangan sumber air juga penyebab padi kurang menjadi.

KUANTAN - Pesawah skim paya Kampung Merchong, Pekan merayu pihak berkaitan menyegerakan pembinaan sistem saliran di kawasan padi mereka.

Ketua Kumpulan Pengguna Air (KPA), Mansor Ali berkata, saliran berkenaan membolehkan pesawah di kawasan terbabit dapat meneruskan tanaman padi setiap tahun tanpa bergantung kepada air hujan sepenuhnya.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sistem pengairan yang tidak sempurna menyebabkan kawasan padi kurang menjadi dan ada pesawah mula berputus asa.

"Ada pesawah yang tidak mahu teruskan aktiviti penanaman padi kerana masalah untuk mendapatkan air.

Iklan

"Permohonan untuk mendapatkan sistem saliran sudah lama disuarakan tetapi sehingga kini permintaan itu masih belum ditunaikan," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Mansor menambah, sebelum ini semua pesawah memulakan penanaman padi pada musim tengkujuh kerana mengharapkan hujan dan menggunakan sistem tabur tanpa air.

Iklan

Bagaimanapun katanya, hasilnya padi tidak boleh membesar dan pesawah pula berdepan kerugian kerana bekalan air yang tidak mencukupi.

Selain itu, beliau berkata, pesawah memerlukan modal kira-kira RM3,000 bagi mengusahakan satu petak sawah semusim.

Muhamad Khalil (kiri) melihat padi yang akan dituai di sawah di Kampung Merchong, Pekan. (Pix Ihsan IADA)

"Untuk tujuan itu kebanyakan penanam padi membuat pinjaman bank sebagai modal tetapi pesawah terpaksa berhutang apabila tanaman tidak menjadi.

"Ramai pesawah tidak dapat membayar hutang apabila sawah yang diusahakan tidak menjadi disebabkan bekalan air tidak mencukupi," katanya.

Sementara itu, Pengarah Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Pekan, Muhamad Khalil Idris berkata, seluas 4,113 hektar sawah di skim Merchong dan sebelum ini pesawah menanam padi hanya dapat dilakukan sekali setahun sahaja.

Menurutnya, permohonan untuk menyediakan sistem saliran yang diperlukan di skim Merchong sudah dikemukakan kepada Ibu Pejabat Jabatan Pengairan dan Saluran (JPS) di Putrajaya.

"Kita cuba bantu dan permohonan mereka sudah dikemukakan kepada pihak atasan dan diharap ada maklum balas positif," katanya.

Beliau menjelaskan, skim Merchong sebelum ini menyumbang 50 peratus pengeluaran beras di negeri ini dan dua peratus pengeluaran beras negara.

"Pesawah di skim Merchong mampu menghasilkan kira-kira 2.9 tan padi sehektar dan kita sentiasa berusaha membantu mereka dalam usaha meneruskan aktiviti menanam padi setiap tahun.

"Cabaran utama mereka kini ialah sistem pengairan. Pesawah yang tidak dapat mengusahakan tanaman padi mula beralih kepada menanam tanaman kontan seperti labu, jagung dan cili," katanya.