KOTA KINABALU - Kerajaan Persekutuan memberi penekanan layanan yang adil dalam pembentukan dan perancangan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) kepada Sabah.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, layanan adil dalam RMK12 ini menerusi peruntukan sumber kewangan yang saksama dalam pembangunan di Sabah.
"Dalam konteks Sabah saya sedar bahawa jurang pembangunan masih agak ketinggalan dalam beberapa aspek jika dibandingkan dengan negeri di Semenanjung.
"Kerajaan telah menekankan layanan yang adil dalam pembentukan dan perancangan RMK12 dengan memperuntukkan sumber kewangan yang saksama dalam pembangunan negeri ini," katanya dalam ucapan pada Sesi Balai Rakyat Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030, di Dewan Bankuasi, Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) pada Isnin.
Hadir sama dalam sesi itu ialah Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor; Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.
Muhyiddin dalam pada itu berkata, menerusi WBK 2020, terdapat teras utama iaitu dasar kerajaan yang bertujuan merapatkan jurang ekonomi dalam masyarakat.
"WKB 2030 berhasrat mewujudkan sebuah negara yang maju, makmur dan bersatu padu dengan segala hasil kemakmurannya dikongsi secara adil oleh setiap lapisan masyarakat tanpa mengira kumpulan pendapatan, etnik dan wilayah.
"WKB 2030 tidak mendiskriminasikan sesiapa. Saya sering tekankan sebelum ini bahawa tidak kira Melayu, Cina, India, Sikh, Iban, Kadazan, Dusun, Murut, Bidayuh, Bajau, Melanau atau Orang Asal, anda semua berhak untuk menikmati kek kemakmuran negara dan Berjaya.
"Selaras dengan matlamat WKB 2030 untuk menyediakan taraf hidup yang wajar kepada semua rakyat Malaysia, tumpuan Kerajaan ialah ke arah memastikan pembangunan seimbang dilaksanakan merentasi wilayah dan negeri," katanya.
Muhyiddin berkata, perkara itu penting bagi memastikan setiap lapisan masyarakat dapat menikmati pembangunan yang adil dan saksama berdasarkan konsep 'Kemakmuran Bersama' atau 'shared prosperity'," katanya.
Tambah Muhyiddin lagi, selepas setahun kerajaan Perikatan Nasional (PN) menjalankan amanah mentadbir negara, pelbagai perancangan dan pelaksanaan inisiatif telah dijalankan bagi memenuhi hasrat WKB 2030.
"Bagi negeri Sabah, sudah pasti kerajaan memberikan perhatian yang terbaik bagi memastikan penyampaian segala bentuk perancangan dapat dilakukan secara optimum bagi manfaat semua lapisan masyarakat.
"Selaras dengan salah satu objektif utama WKB 2030 iaitu Pembangunan untuk semua, kerajaan komited untuk memastikan pembangunan yang mampan di setiap negeri termasuklah di Sabah," katanya.