Doktor rugi RM287,360 ditipu 'pegawai LHDN'

Iklan
Seorang doktor perubatan kerugian RM287,360 akibat ditipu sindiket Macau Ccam yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Gambar hiasan

SEREMBAN - Seorang doktor perubatan kerugian RM287,360 akibat ditipu sindiket Macau Ccam yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Abd Ghani berkata, dalam kejadian pada 6 Februari lalu, doktor berusia 25 tahun itu yang ketika itu berada di tempat kerjanya menerima panggilan telefon daripada sindiket terbabit.

Iklan
Iklan

"Suspek mendakwa mangsa mempunyai cukai tertunggak berjumlah RM38,000 dan kemudian talian kononnya disambungkan kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang. Dia kemudian dimaklumkan terlibat dengan kes jenayah melibatkan pegubahan wang haram dan dadah.

"Mangsa seterusnya diminta untuk berhubung terus dengan seorang pegawai polis menerusi nombor talian 014-7410051," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Iklan

Aibee berkata, pada 8 Februari lalu, mangsa menerima panggilan telefon daripada suspek yang kononnya menawarkan diri untuk menyelesaikan semua kes tersebut. Suspek juga memberi nombor telefon beliau iaitu 014-7410596.

"Pada 10 Februari laku, suspek meminta mangsa menyerahkan semua maklumat perbankan internetnya sebelum meminta mangsa memuat turun aplikasi bank berdasarkan pautan yang diberi oleh suspek untuk memudahkan urusan mangsa.

Iklan

"Selain itu, suspek juga meminta mangsa untuk membuat pinjaman peribadi sebanyak RM200,000," katanya.

Bagaimanapun, katanya, pada 9 Mac lalu, mangsa telah terima penyata bank mendapati banyak transaksi pindahan wang daripada akaunnya berjumlah RM 94,560 kepada beberapa akaun lain.

"Mangsa turut membuat semakan akaun bank lain dan mendapati berlaku transaksi berjumlah RM192,800 ke beberapa akaun lain," katanya.

Aibee berkata, mangsa menyedari telah ditipu dan tampil membuat laporan polis pada Ahad.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.