KUALA LUMPUR - Pasangan suami isteri yang dikatakan berbulan madu di Johor baru-baru ini didapati memberikan keterangan palsu kepada polis.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, siasatan yang dijalankan pihak polis mendapati wujud keraguan berdasarkan keterangan yang diberikan oleh pasangan tersebut pada 20 Mac 2021.
"Hasil siasatan pihak polis mendapati pasangan ini memberikan keterangan palsu berkaitan alasan memohon kebenaran rentas negeri.
"Pasangan itu telah membuat persiapan awal dengan membuat tempahan hotel secara dalam talian pada bulan Disember 2020 untuk menyambut ulang tahun perkahwinan mereka pada 17 Mac 2021," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.
Ashari berkata, polis telah membuka kertas siasatan terhadap kedua-dua individu tersebut di bawah Seksyen 22(d) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan jika disabitkan kesalahan, pasangan ini boleh dikenakan tindakan kompaun sehingga RM10,000.
Sehubungan itu beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak sesekali menyalahgunakan kebenaran rentas negeri yang diberikan untuk urusan perniagaan, kerja atau pun kecemasan dengan menjalankan program atau aktiviti peribadi lain serta bercanggah dengan alasan yang diberikan kepada pihak polis sewaktu memohon pergerakan rentas negeri.
"Dalam usaha memerangi penularan Covid-19 ini, semua individu seharusnya memainkan peranan masing-masing dan bekerjasama dalam mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan sebagaimana yang ditetapkan oleh kerajaan," katanya.
Sebelum ini tular di media sosial beberapa gambar dimuat naik oleh seorang wanita yang turut berkongsi tip bagaimana mendapat kebenaran polis untuk merentas negeri bagi tujuan berbulan madu.
Wanita berkenaan mendakwa tempahan tempat percutian telah dibuat sejak Disember lalu dan mendakwa pegawai polis di tempat beliau mudah untuk memberi pelepasan.
ARTIKEL BERKAITAN: Polis panggil suami isteri isu rentas negeri untuk 'honeymoon'