PONTIAN - Seorang kapten dan kru kapal asing didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Isnin atas tuduhan membawa masuk rokok seludup bernilai RM47.1 juta.
Bagaimanapun, tertuduh Myint Aung, 55, yang juga kapten warganegara Myanmar dan Seah Tien Lye, 48, kru kapal warganegara Singapura mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Inggeris oleh jurubahasa di hadapan Majistret Nur Azzuin Abdul Moati.
Sembilan lagi kru kapal berkenaan yang merupakan warga Myanmar, tidak dapat dituduh kerana tidak memahami bahasa Inggeris.
Mengikut kertas pertuduhan, Myint dan Tien Lye didakwa secara bersama-sama terbabit mengimport atau membawa masuk 7,000 kotak yang mengandungi 70 juta batang rokok seludup pelbagai jenama bernilai RM47.1 juta di dalam sebuah kapal MV Chita.
Kesalahan itu dilakukan di longtitud 103 23.320 E jarak tiga batu nautika barat daya Pulau Kukup, di sini kira-kira jam 8.15 malam pada 8 Mac 2021.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 135 (1)(a) Akta Kastam 1967, yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang 10 kali ganda nilai dan tidak lebih 20 kali ganda amaun duti kastam atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Dewi Jasmine Ahmad dan kedua tertuduh diwakili peguam Mohd Hamizi Mohd Yusof dan Ahmad Khairuddin Khalid.
Mahkamah menetapkan kedua tertuduh dijamin sebanyak RM20,000 setiap seorang dengan dua orang penjamin warga tempatan, perlu lapor diri setiap Isnin di balai polis berhampiran dan pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 21 April depan.
Pada 10 Mac lalu, media melaporkan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2 merampas rokok seludup terbesar dalam sejarah negara selepas menahan sebuah kapal kargo di perairan pantai barat berhampiran Pulau Kukup, pada 8 Mac lalu.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), Datuk Seri Abd Rahim Jaafar dilaporkan berkata, sebanyak 11 kru termasuk kapten kapal membabitkan warga Myanmar dan seorang warga Singapura, turut ditahan.
ARTIKEL BERKAITAN: Rampas rokok seludup bersama kapal bernilai RM70 juta