SETIU - Seorang buruh warga Myanmar maut selepas motosikal ditunggangnya dilanggar sebuah lori yang membawa muatan barangan runcit, dalam kemalangan di Kilometer (KM) 55 Rhu 10 Jalan Kuala Terengganu- Kampung Raja di sini pagi Isnin.
Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, dalam kejadian kira-kira jam 9.55 pagi itu, penunggang tersebut, Muhammad Hafiz Sayadul Rahman, 27, maut di lokasi kejadian akibat parah di kepala.
Iklan
Iklan
Beliau berkata, bagaimanapun pemandu lori jenis Hino warga tempatan berusia 27 tahun tidak cedera dan kelindannya, seorang warga Bangladesh, 26, hanya cedera ringan di leher sebelum dihantar ke Hospital Setiu untuk rawatan lanjut.
"Hasil siasatan awal, motosikal mangsa dari arah penarik menghala ke Telaga papan cuba membelok dari kiri ke kanan jalan secara tiba-tiba untuk masuk ke simpang kiri jalan.
"Pada masa sama di belakangnya datang sebuah lori satu tan penuh muatan runcit dari arah Pasir Putih menghala ke Kuala Terengganu tidak sempat mengelak lalu melanggar kenderaan tersebut.
"Akibat pelanggaran itu, lori terbabit terbabas sebelum merempuh sebuah kedai makan yang tidak beroperasi di tepi kanan jalan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke Forensik Hospital Setiu untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.