Sabah perlu lebih berani laksana projek pembangunan

Iklan
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika melancarkan Projek Lok Kawi Resort City di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, hari ini. -Foto Bernama

KOTA KINABALU - Sabah perlu mengambil langkah berani untuk menjalin lebih banyak kerjasama dengan pelabur luar dalam melaksanakan projek pembangunan secara Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) dengan meluas.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Sabah mempunyai potensi besar dalam mengupayakan tanah serta sumber miliknya dan ini dapat dibuktikan menerusi keyakinan para pelabur tempatan dan asing membuat pelaburan di negeri tersebut.

Iklan
Iklan

"Kerajaan Persekutuan akan sentiasa memberi sokongan dan perhatian terhadap pelan pembangunan seperti ini,” katanya dalam ucapan beliau semasa melancarkan projek Pembangunan Lok Kawi Resort City di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, di sini pada Isnin.

Turut hadir Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor serta Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin, Datuk Dr Joachim Gunsalam dan Datuk Dr Jeffrey Kitingan serta Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Iklan

Muhyiddin berkata, sebagai sebuah negara yang pertumbuhan ekonominya dipacu oleh eksport, sentimen pelabur amat penting sebagai sumber penciptaan pekerjaan dan dalam aspek ini, keyakinan terhadap pasaran Malaysia tetap teguh terutama daripada pelabur asing berdasarkan pelaburan berjumlah RM18.3 bilion dalam pasaran bon sehingga akhir Disember 2020.

Menurutnya, pelaburan asing bersih ke Malaysia juga kekal positif daripada RM2.2 bilion pada suku kedua 2020 kepada RM6.1 bilion pada suku keempat tahun sama.

Iklan

"Antara faktor menyokong keyakinan pelabur luar ini ialah usaha giat kerajaan untuk mengadakan libat urus dengan pelabur sedia ada bagi memahami kehendak industri dalam tempoh pelaksanaan kawalan pergerakan. Selain itu, usaha menarik pelaburan tambahan dan baharu juga sentiasa giat dijalankan,” katanya.

Beliau juga yakin kerajaan negeri di bawah pimpinan Hajiji akan terus giat mempelbagaikan agenda pembangunan termasuk menerusi matlamat baharu digarap iaitu Sabah Maju Jaya, pelan pembangunan lima tahun dari 2021 hingga 2025.

Mengenai Pembangunan Lok Kawi Resort City, Perdana Menteri berkata, projek berkenaan bakal memberi pulangan jangka panjang kepada Sabah termasuk membuka ruang lebih luas untuk kemasukan pelabur, pembeli hartanah serta pelancong dalam dan luar negara.

"Buat masa ini kekangan pandemik Covid-19 mengehadkan kemasukan pelancong, namun saya yakin dengan pelaksanaan vaksinasi secara menyeluruh menjelang akhir tahun ini, Sabah yang kaya dengan tarikan pelancongan akan kembali aktif menerima pelancong sekali gus merancakkan semula ekonomi negeri,” katanya.

Projek dengan nilai pembangunan kasar kira-kira RM7 bilion itu adalah usaha sama antara Yayasan Sabah dan Tegas Bangsa Sdn Bhd, rakan sekutu Kumpulan Pavilion, pemaju utama pembangunan kediaman serta komersial mewah di Semenanjung dan akan dibangunkan di tanah seluas 166.3 hektar di Lok Kawi, Putatan.

Projek yang merangkumi taman tema, hotel peranginan, kompleks membeli belah, blok komersial dan pejabat serta perumahan itu dijangka siap dalam tempoh lebih kurang 15 tahun dan bakal menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat di negeri ini.

Sementara itu, dalam sidang akhbar kemudiannya, Muhyiddin berkata, kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sabah memainkan peranan penting dalam usaha membawa masuk lebih banyak pembangunan serta pelaburan berkualiti tinggi ke negeri ini.

Beliau berkata dalam situasi ekonomi yang lembab akibat Covid-19 pada masa ini, segala usaha perlu dilakukan secara bersama bagi memastikan gerak kerja menarik pelaburan serta pembangunan dilaksana dengan berkesan.

"Persaingan untuk mendapatkan modal agak sengit kerana jumlah modal yang ada di pasaran global terbatas... Hanya negara yang bersungguh-sungguh dan ada insentif menarik akan berjaya menarik pelabur. Justeru, gandingan (kerajaan) Persekutuan dan negeri penting.

"Jika Persekutuan sahaja membantu (tetapi) negeri tidak buat apa-apa tidak akan berjaya," katanya sambil menambah, inisiatif pelaburan ditunjukkan hari ini adalah contoh terbaik kerjasama yang mampu membangunkan sektor ekonomi negeri khususnya dalam sektor pembuatan.

Pada majlis itu, Muhyiddin turut menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman inisiatif pelaburan asing dan domestik antara kerajaan negeri Sabah dan Linaco Group of Companies bagi projek penanaman pokok kelapa hibrid hasil tinggi, serta Kota Kinabalu Industrial Park Sdn Bhd dan SK Nexilis Co. Ltd, syarikat dari Korea Selatan bagi pembinaan kilang pengeluaran kerajang tembaga. - Bernama