SHAH ALAM - Malaysia tidak perlu gentar dengan Korea Utara kerana negara ini juga mempunyai kelebihan dan kekuatan untuk menghadapi sebarang ancaman.
Penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Abdul Muein Abadi berkata, perkara itu merupakan satu daripada empat sebab utama rakyat Malaysia tidak perlu gentar terhadap ancaman Korea Utara.
Jelasnya, walaupun negara itu memiliki keupayaan teknologi nuklear selepas kejayaan bom hidrogen pada 2016, namun sistem peluru berpandu Intercontinental Ballistic Missile (ICBM) mereka masih lemah.
"Dua peluru berpandu ICBM mereka mampu menyerang Malaysia pada jarak lebih 4,000 kilometer (km) ialah Hwasong-12 dan Hwasong-14 dengan siri kejayaan ujian pada 2017.
"Namun begitu, pakar mempersoalkan dari segi konsistensi ICBM Korea Utara ini berikutan kadar kegagalan ketika ujian agak tinggi,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Isnin.
ARTIKEL BERKAITAN Korea Utara putus hubungan diplomatik
Tindakan usir selaras perundangan antarabangsa: Hishammuddin
Malaysia akan terima akibat, kata konsulat Korea Utara
Tambah beliau, jika Korea Utara cuba melancarkan ICBM ke arah Malaysia, ia akan dikesan terlebih dahulu oleh sistem Terminal High Altitud Area Defense (THAAD) milik Amerika Syarikat di Korea Selatan dan mampu memintas serta memusnahkan peluru berpandu di altitud melebihi 40km.
Dalam pada itu, Abdul Muein berkata, agensi perisikan, keselamatan dan pertahanan Malaysia akan mengambil langkah keselamatan dengan segala kemungkinan yang berlaku.
"Cawangan Khas (SB) iaitu agensi perisikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) cukup berpengalaman dengan taktik komunis bukan sahaja ketika Perang Dingin dan darurat bahkan ketika ancaman keselamatan kontemporari.
"Dengan ancaman ini, pasti SB akan mengambil langkah bersiap-siaga menjangka pelbagai senario termasuklah kemungkinan mereka melakukan sabotaj, pembunuhan bersasar atau menyasarkan kemudahan awam strategik di negara kita,” ujarnya.
Sementara itu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang kini memiliki Bahagian Siber dan Eklektromagnetik Pertahanan (BSEP) akan mengkoordinasi semua aspek sistem siber dan elektromagnetik pertahanan melibatkan operasi dan latihan.
"Kerjasama dengan semua agensi kerajaan dan swasta berkaitan komunikasi dan elektronik bagi kepentingan ATM serta Angkatan Tentera negara-negara sahabat ke atas semua aspek untuk kepentingan bersama.
"Kita juga memiliki Five Power Defence Arrangement (FPDA) bersama Australia, New Zealand dan Singapura yang akan membincangkan tindak balas sekiranya salah satu daripada negara itu diserang secara serangan ketenteraan konvensional.
Mengulas lanjut, bagi dua kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan China, Malaysia adalah cukup penting untuk dipertahankan atas sebab strategik dan ekonomi.
"Ini kerana lokasi negara kita merupakan kawasan strategik antara Lautan Hindu, Selat Melaka dan Laut China Selatan yang membekalkan lebih 80 peratus import tenaga kepada China.
"Malaysia juga adalah pembekal elektronik dan semikonduktor yang tidak kurang kritikal kepada ketenteraan Amerika Syarikat untuk pembuatan pelbagai aset daripada pesawat pejuang sehingga ‘aaircraft carrier’,” katanya.
Sehubungan itu, marilah kita doakan semoga agensi tersebut dipelihara dalam melindungi keselamatan dan kedaulatan negara.