Pemandu Myvi 'terbang' alami kecederaan

Iklan
Keadaan Perodua Myvi yang 'terbang' melintasi longkang dalam kejadian di Jalan Bulatan Bukit Indah pada Isnin.

ISKANDAR PUTERI - Pemandu Perodua Myvi yang videonya tular memaparkan kenderaan berkenaan berada di seberang longkang besar, mengalami kecederaan dalam kejadian di Jalan Bulatan Bukit Indah, pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, dalam kejadian jam 3 pagi itu, pihaknya mendapati kemalangan itu disebabkan pemandu hilang kawalan semasa memasuki bulatan lalu bergerak lurus.

Iklan
Iklan

Katanya, kenderaan itu seterusnya merempuh pagar sehingga melintasi longkang besar sejauh 50 meter dan melanggar sepohon pokok sebelum berhenti.

"Akibat daripada perlanggaran tersebut, pemandu lelaki berusia 22 tahun telah tersepit di bahagian kaki dan anggota bomba telah mengeluarkan mangsa dari kenderaan.

Iklan

"Mangsa mengalami kecederaan luka di bahagian muka dan tangan serta sakit di bahagian kaki kiri, telah dihantar ke Hospital Sultanah Aminah dengan menaiki ambulan," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Menurut Dzulkhairi, berdasarkan siasatan pemandu berkenaan tidak berada dalam keadaan mabuk mahupun di bawah pengaruh dadah.

Iklan

"Polis masih menjalankan siasatan lanjut sementara kes disiasat mengikut Peraturan 10 LN 166/59 Peraturan Lalu Lintas Jalan Raya,” katanya.

Video berdurasi 33 saat memaparkan sebuah Perodua Myvi berwarna putih berada di seberang longkang tular dan mendapat perhatian ramai dengan rata-rata memuji kehebatan kenderaan berkenaan 'terbang' sehingga melepasi longkang.