MESKIPUN mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas Skuad Projek FAM-MSN pada Ahad, Ketua jurulatih Negeri Sembilan FC (NSFC), K. Devan ternyata belum berpuas hati dengan corak persembahan yang ditonjolkan anak-anak buahnya.
Pengendali berpengalaman itu berkata, corak permainan skuad Hobin Jang Hobin yang tidak konsisten pada awal perlawanan menyebabkan mereka banyak membuat keputusan kurang bijak dalam merencanakan permainan, sekali gus gagal memanfaatkan banyak peluang yang terhidang.
"Mereka terlampau eager nak score (beria-ria nak jaringkan gol) dan tidak hantar bola kepada pemain yang berada dalam kedudukan baik untuk jaringkan gol.
"Dari segi itu, saya tengok keputusan yang dibuat pemain kurang baik selain kemungkinan dalam keadaan letih menyebabkan decision making kurang berkesan,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan.
Pada babak 45 minit pertama perlawanan yang berlangsung di Stadium Tunku Abdul Rahman, Paroi, kedua-dua pasukan terikat 0-0.
Begitupun, Devan turut memuji semangat juang anak buahnya yang kembali mendapat rentak pada separuh masa kedua meskipun berhadapan dengan asakan hebat pasukan lawan, yang menyaksikan NSFC mula memecah kebuntuan gol.
Gol pembukaan perlawanan dijaringkan pemain pertahanan NSFC, Barathkumar Ramaloo pada minit ke-72 perlawanan dan disusuli gol kedua menerusi penyerang, Alain Thierry Akono - lima minit sebelum wisel penamat dibunyikan.
NSFC terus mengungguli tangga Liga Premier daripada 11 pasukan bertanding selepas memunggut 13 mata hasil empat kemenangan dan satu seri.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Projek FAM-MSN Yusri Che Lah berkata, walaupun pasukan belum meraih sebarang mata setelah mengharungi lima perlawanan, namun anak buahnya telah memberikan komitmen yang terbaik.
"Kita berada di tangga tercorot liga dan bertemu dengan pasukan teratas liga, (sudah tentu) ia sesuatu yang amat sukar (dan) buat pertama kali dalam perlawanan, pasukan kita mampu bertahan 45 minit yang tidak berlaku dalam empat perlawanan awal,” katanya.
Yusri bagaimanapun berkata pasukannya yang masih ‘hijau’ perlu diberikan sokongan oleh semua pihak. - Bernama