Jangan cepat berpuas hati, pesan bapa Zii Jia

Iklan
Ibu pemain badminton negara, Leow Siet Peng bersama bapa, Lee Chee Hin menceritakan tentang reaksi mereka selepas melihat anak mereka, Lee Zii Jia menjadi Juara Badminton Perseorangan Seluruh England 2021 ketika ditemu ramah di Bandar Darulaman Jitra hari ini. - Foto Bernama

JITRA - Jaguh perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia tidak seharusnya terbuai-buai atas kejayaan merangkul kejuaraan All England, sebaliknya perlu berusaha keras bagi meraih lebih banyak kejuaraan pada masa akan datang.

Bapa Zii Jia, Lee Chee Hin, 54, berkata, perjalanan karier anaknya yang berumur 22 tahun itu baru sahaja bermula dan berharap dia tidak cepat berpuas hati dengan pencapaiannya bergelar juara pada kejohanan badminton tertua dunia tersebut.

Iklan
Iklan

"Saya bersama keluarga berdebar menyaksikan aksi final di televisyen malam tadi selepas dia terpaksa mengharungi cabaran cukup sengit menentang lawannya. Setelah menang di set pertama, dia tewas di set kedua.

"Tetapi, kami lega apabila dia kembali fokus sekali gus berjaya mencipta kemenangan pada set ketiga. Meskipun banyak berdepan dugaan sejak beberapa bulan lalu, dia tetap berjaya melakar pencapaian yang hebat,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Darul Aman Height hari ini.

Iklan

Pada aksi final di Utilia Arena Birmingham semalam, Zii Jia menamatkan penantian Malaysia selama empat tahun untuk meraih gelaran juara kejohanan badminton All England selepas menewaskan Viktor Axelsen dari Denmark 30-29, 20-22 dan 21-9.

Sementara itu, ibu Zii Jia, Leow Siet Peng, 53, berkata, anaknya yang merupakan pemain nombor 10 dunia, menerima tekanan yang sangat hebat terutama apabila aksinya mula dipertikaikan sesetengan pihak di media sosial, sebelum ini.

Iklan

"Dia terpaksa mengharungi perlawanan yang tidak menentu sebaik kalendar badminton antarabangsa membuka tirai di Bangkok awal tahun ini. Dia menjadi lebih tertekan selepas melihat lima pemain seniornya disingkirkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada Februari lalu.

"Dia turut berasa bersalah atas prestasinya yang tidak baik pada masa tersebut dan sejak itu dia banyak menyendiri. Dia juga kurang berborak dengan keluarga dan hanya akan berkomunikasi menerusi pesanan mesej,” katanya.

Siet Peng yang merupakan bekas atlet bola keranjang kebangsaan dan pernah beraksi pada Sukan SEA 1993 di Singapura berkata, situasi anaknya itu membuatkan mereka sekeluarga bimbang dengan keadaan Zii Jia sebelum mengharungi kejohanan berkenaan.

"Selepas menerima piala dan pingat, dia sempat membuat panggilan video dengan kami sekeluarga untuk berkongsi kemenangan itu. Dia minta kami lihat piala itu sepuas-puasnya kerana tidak dapat membawa piala berkenaan pulang kerana perlu disimpan di England,” katanya. - Bernama