Perak bakal wujudkan Majlis Sukan Elektronik

Iklan
Dari kanan: May Ing, Ahmad Faizal, Howard Lee dan Fikri menunjukkan logo EPIC 2019 pada sidang media tersebut.

IPOH - Kerajaan Perak bakal mewujudkan Majlis Sukan Elektronik Negeri dalam masa terdekat bagi merancakkan lagi pembangunan e-Sukan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, enakmen mengenai penubuhannya sedang dirangka serta diperhalusi oleh Jawatankuasa Protem Sukan Elektronik Perak yang dipengerusikan Exco Pembangunan Belia dan Sukan Perak, Howard Lee.

Iklan
Iklan

Katanya, kewujudan majlis itu kelak akan menjadi pemangkin rujukan bagi negeri-negeri lain bagi pembangunan e-Sukan pada masa akan datang.

"Kerajaan Perak melalui Pusat Aspirasi Anak Perak (Pasak) juga akan menganjurkan Persidangan Industri Profesional e-Sukan 2019 (EPIC 2019) pada 2 dan 3 Mac ini.

"Persidangan yang julung kali diadakan di Perak ini akan menjadi penanda aras bagi halatuju e-Sukan di negeri ini," katanya kepada pemberita, hari ini.

Iklan

Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai persidangan tersebut dan Pelancaran Logo Rasmi EPIC 2019 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini. Hadir sama pada sidang media tersebut, Howar Lee dan Exco Kesejahteraan Sosial, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat Perak, Wong May Ing.

Ahmad Faizal berkata, penganjuran EPIC 2019 itu bermatlamat membuka peluang dan ruang kepada rakyat Perak khususnya golongan belia untuk melihat potensi e-Sukan yang bukan sekadar permainan semata-mata sebaliknya sebagai salah satu cabang ekonomi baharu.

Iklan

Katanya, persidangan selama dua hari itu juga akan menghimpunkan ahli panel yang lama berkecimpung e-Sukan ini.

"Tidak dinafikan lagi EPIC 2019 merupakan satu projek serta inisiatif yang baik ke arah revolusi industri 4.0 selari dengan perkembangan pesat industri e-Sukan ini.

"Justeru itu Perak membuka pintu seluas-luasnya kepada pelabur dalam bidang nanoteknologi, latihan, pencipta atau pemaju inovasi, permainan video, laser dan robotik, pembangun website serta lain-lain lagi," katanya.

Menurut Ahmad Faizal, rakyat Perak terutama belia, atlet e-Sukan dan pemain industri seluruh negeri dijemput untuk bersama-sama memeriahkan persidangan ini dalam usaha mengetengahkan Perak sebagai hab e-Sukan di Malaysia.