Beza sokongan pengundi PH-BN hanya 9 peratus: IDE

Iklan

SHAH ALAM - Sokongan pengundi kepada PH di kawasan DUN Semenyih dilihat masih tinggi iaitu sebanyak 46 peratus dan mempunyai peluang untuk terus menyandang kerusi itu bagi penggal berikutnya.

Timbalan Pengerusi Institut Darul Ehsan (IDE), Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman berkata, pendapat itu dirumuskan hasil Kajian Survei Lapangan IDE ‘PRK N24 DUN Semenyih: Apa pilihan pengundi’ yang dijalankan ke atas 1,142 responden bermula 31 Januari hingga 1 Februari lepas.

Iklan
Iklan

Namun begitu katanya, PH terpaksa memikul tugas sukar untuk memenangi kerusi tersebut memandangkan kadar sokongan terkini BN di DUN Semenyih adalah sebanyak 37 peratus, berbeza hanya sembilan peratus dengan pakatan berkenaan.

"Kadar sokongan itu adalah hasil kajian situasi semasa dan apa yang kita lihat, jika PH khususnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang bertanding di kawasan itu mahu menang kerusi berkenaan, mereka harus memperoleh sekurang-kurangnya 51 peratus undi.

Iklan

ARTIKEL BERKAITAN: MP UMNO masuk Bersatu mungkin turun Semenyih

"Berdasarkan kepada survei IDE, penentuan PRK DUN berkenaan kali ini terletak kepada persaingan calon parti untuk meraih sokongan pengundi atas pagar sebanyak 17 peratus tersebut,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Iklan

Tambah beliau, daripada kajian itu juga, trend pengundian menunjukkan 50 peratus pengundi telah menetapkan keputusan mereka untuk mengundi calon daripada parti tertentu namun 28 peratus lagi hanya akan membuat pilihan menjelang hari mengundi.

Disebabkan itu kata Mohammad Redzuan, tempoh 48 jam terakhir sebelum hari mengundi sebenarnya boleh menentukan pola pengundian dan ia juga mampu menggambarkan calon daripada parti mana yang akan memenangi kerusi dipertandingkan.

Dalam pada itu, beliau berkata, walaupun sokongan pengundi terhadap kerajaan PH masih tinggi, namun isu seperti kos sara hidup dan kenaikan harga barang dilihat sedikit sebanyak mempengaruhi tahap sokongan tersebut

Namun, beliau berkata, kajian IDE masih menunjukkan rakyat tetap menaruh kepercayaan kepada kerajaan PH.

"Respons masyarakat juga masih positif terhadap pentadbiran kerajaan Selangor serta program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) yang diperkenalkan untuk membantu rakyat negeri itu sejak tahun 2008,” katanya.

Jelas beliau, hasil kajian itu juga menunjukkan kadar sokongan kaum Melayu kepada PH dan BN di DUN Semenyih adalah seimbang manakala sokongan kaum Cina serta India kepada PH adalah masing-masing 70 peratus dan 80 peratus.

Menjawab satu pertanyaan, Mohammad Redzuan berkata, Bersatu adalah sebuah parti baharu, justeru komponen PH yang lain harus bergerak secara kolektif bagi memastikan kemenangan kekal berpihak kepada pakatan itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 2 Mac ini sebagai hari mengundi bagi PRK DUN Semenyih, Sabtu ini hari penamaan calon manakala tarikh mengundi awal pada 26 Februari.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandang kerusi DUN tersebut, Bakhtiar Mohd Nor di Hospital Kajang pada 11 Januari lalu akibat serangan jantung.

Pada PRU14, Bakhtiar dari Bersatu memperoleh 23,428 undi mengetepikan penyandangnya daripada BN, Datuk Johan Abdul Aziz (14,464); calon Pa, Mad Shahmiour Mad Kosim (6,966) dan S. Arutchelvan mewakili Parti Sosialis Malaysia (1,293). - Bernama