SHAH ALAM - Maggi berjaya mengumpulkan dana sebanyak RM118,000 daripada 1.18 juta penyertaan menerusi Kempen Tahun Baru Cina 'Sajian Dikongsi, Kebahagiaan Dirai' Maggi yang diadakan pada Januari dan Februari lalu.
Pegawai Eksekutif Perniagaan Maggi, Nestle (Malaysia) Berhad, Geetha Balakrishna berkata, Maggi telah menyumbangkan dana itu kepada 11 rumah jagaan warga tua di seluruh Malaysia yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
Menurut Geetha, kempen yang berlangsung selama dua bulan itu menyaksikan Maggi menyumbang 10 sen untuk setiap penyertaan peraduan yang diterima daripada orang ramai.
"Sumbangan ini sekali gus membolehkan usaha menambah baik fasiliti dan kemudahan rumah-rumah jagaan warga tua tersebut selain pembelian bahan makanan dan barangan keperluan rumah.
"Kami gembira dan terharu melihat begitu ramai rakyat Malaysia memberi sokongan kepada komuniti warga emas terutama pada masa sukar sebegini melalui kempen ini," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, ketika Maggi mengunjungi rumah jagaan warga tua dan menilai keperluan mereka, pihaknya mendapati beberapa rumah berkenaan memerlukan bantuan untuk membaiki bumbung bocor dan saluran paip yang rosak.
"Kami memutuskan untuk menggerakkan dana yang terkumpul bagi memulihkan kemudahan di rumah berkenaan, selain daripada pembelian bahan makanan dan barangan keperluan rumah," katanya.
Beliau berkata, sumbangan yang dikumpul melalui kempen itu disalurkan untuk memperbaiki kemudahan rumah jagaan warga tua, pembelian peralatan tempat tidur, perabot, produk penjagaan diri, barangan keperluan rumah dan bekalan makanan untuk penghuni di rumah-rumah berkenaan.
"Rumah-rumah kebajikan ini mengalami masalah kewangan akibat penurunan sumbangan dan aliran pendapatan lain disebabkan oleh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan untuk menangani penularan pandemik Covid-19," katanya.
Geetha berkata, Maggi juga turut menyumbang dua buah mesin basuh berserta produk Maggi untuk menampung keperluan 60 warga emas di Pusat Penjagaan Warga Emas Tong Sim.
"Selain itu, Maggi turut menyumbang dana biayai kos penambahbaikan rumah seperti mengecat, menggantikan saluran air dan paip untuk Persatuan Kebajikan SVM Selangor DAN Kuala Lumpur, Pusat Penjagaan Noble dan Persatuan Bantuan Keluarga Selangor untuk meningkatkan taraf hidup penghuni di pusat-pusat jagaan warga emas tersebut," katanya.