KUALA LUMPUR - Dari jauh kelihatan susuk dua anak muda tekun melakar sesuatu pada badan pesawat sambil sesekali menyeka peluh di dahi kerana kerja itu dilakukan di bawah terik mentari.
Namun jangan salah sangka, mereka bukannya ‘kaki vandalisme’ yang menceroboh, sebaliknya pelukis mural yang dipertanggungjawabkan melukis mural potret insan-insan yang pernah dan menjadi ‘payung negara’ pada badan pesawat itu yang bakal diubah suai menjadi restoran tidak lama lagi.
Biarpun kadangkala badan pesawat tidak dapat disentuh kerana cuaca terlalu panas, dua anak muda itu Rushdi Ahmad, 32, Muhammad Syafiq Kholid, 26, tetap gigih membuat lakaran demi lakaran pada badan pesawat jenis Boeing 737 yang ‘diparkir’ berhampiran Hotel Palace of the Golden Horses, Seri Kembangan.
Bagi Rushdi, kerja melukis mural pada badan pesawat itu bukan sesuatu yang mudah dan merupakan pengalaman yang berbeza serta baharu buat dirinya sejak berkecimpung dalam bidang tersebut pada 2010.
Anak jati Kuala Rompin, Pahang itu berkata, selain cuaca tidak menentu, permukaan badan pesawat yang licin dan melengkung juga antara cabaran yang membezakan lukisan mural biasa kerana proses memindahkan imej daripada reka bentuk ke lukisan memerlukan kemahiran, penelitian dan kesabaran.
"Pemindahan imej pada permukaan melengkung lebih sukar daripada tempat yang rata, apabila kita tengok dari satu sudut tepi yang sama dengan kedudukan badan pesawat, ia okey, tapi apabila tengok dari sudut bawah ia (imej) itu ‘distort’ (herot-benyot).
"Jadi di sini memerlukan kerjasama dua orang, seorang artis melakukan kerja mengecat dan seorang lagi ‘standby’ memerhati dari kedudukan bawah badan pesawat yang akan memberikan arahan kepada artis sekiranya ada imej yang perlu dibaiki dengan segera,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Antara imej yang dilukis pada pesawat itu ialah potret Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.
Turut dilukis 15 potret bekas Yang di-Pertuan Agong dan juga wajah Ratu Elizabeth II yang merupakan antara tetamu VVIP yang pernah beradu di hotel tersebut semasa penganjuran Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998.
Identiti hotel tersebut turut dipaparkan antaranya kuda, naga, burung phoenix, logo acara bertaraf dunia yang pernah berlangsung di hotel itu seperti Kejohanan Golf Piala Dunia, forum Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) selain imej berunsur kesihatan iaitu berlari dan berbasikal.
Sepanjang proses menyiapkan lukisan mural yang bermula pada pertengahan Disember tahun lepas itu, Rushdi dan Muhammad Syafiq yang bergerak bersama di bawah syarikat sendiri Tongkang Art Empire, turut dibantu secara sambilan oleh tujuh pelukis mural lain.
Bercerita lanjut, lepasan Sarjana Muda Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu berkata pada permulaan semasa menerima pelawaan tugasan tersebut, beliau hanya menyangka ia adalah arca kapal terbang yang bersaiz lebih kecil.
"Apabila pertama kali melakukan lawatan ke tapak pesawat itu pada awal Disember tahun lepas, saya terkejut melihat rupa-rupanya ia sebuah pesawat yang sebenar, jadi ini peluang saya untuk menunaikan impian berkarya dengan menghasilkan lukisan skala yang besar,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Syafiq berkata, kos menyiapkan lukisan mural itu jauh lebih mahal berbanding mural biasa kerana ia memerlukan beberapa peralatan tambahan termasuk pemasangan perancah besi, penyewaan skylift dan bayaran upah kepada pelukis lain.
"Saya tidak melihat kepada keuntungan semata-mata, apa yang lebih penting ialah kepuasan dari segi penghasilan karya itu supaya ia lebih dikenali,” katanya yang menggunakan hampir 30 tong cat minyak lima liter bagi mengecat kira-kira 5,000 kaki persegi keluasan keseluruhan pesawat itu.
Sementara itu, pengasas dan Pengerusi Eksekutif Country Heights, Tan Sri Lee Kim Yew berkata, pesawat Boeing 737 seberat 45 tan tersebut sebelum ini digunakan sebagai restoran di Bukit Bintang dan kemudian dibeli sebelum dibawa ke Mines Wellness City.
"Ia akan menjadi tarikan baharu dan memberikan nafas baharu kepada pelancongan domestik dan antarabangsa di kawasan berkenaan,” katanya yang menjangkakan restoran dapat dibuka kepada orang ramai tidak lama lagi dengan pelbagai tawaran menarik.
Pensyarah Seni Halus UiTM Machang, Kelantan, Suhaidi Razi berkata, lukisan mural kini menjadi trend dan mempunyai nilai komersial yang menjadi pilihan pelbagai pihak terutama syarikat korporat untuk dijadikan tarikan baharu.
"Kalau dulu pelukis mural banyak terima tawaran di bangunan biasa seperti sekolah, taska dan bayarannya pula tidak banyak, tapi kini seiring dengan perubahan zaman permintaan itu semakin bertambah dan ia memberi saingan yang sihat kepada industri ini.
"Lukisan itu mungkin perkara biasa, namun jika pada tempat yang strategik, itu akan memberi kelainan dan menarik perhatian ramai,” katanya sambil menambah cat minyak yang digunakannya boleh bertahan antara lima hingga tujuh tahun. - Bernama