Tiada pemerhati awam, gerai jualan sempena PAU 2020

Iklan
PAU 2020 di PWTC pada Sabtu dan Ahad ini akan berlangsung dalam suasana norma baharu tanpa kehadiran pemerhati awam dan gerai jualan.

KUALA LUMPUR - Berbeza dengan penganjurannya pada tahun-tahun sebelum ini, Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU 2020) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada Sabtu dan Ahad ini akan berlangsung dalam suasana norma baharu tanpa kehadiran pemerhati awam dan gerai jualan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ia selaras dengan kelulusan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Wilayah Persekutuan.

Iklan
Iklan

"MKN Wilayah Persekutuan telah meluluskan PAU 2020 melalui surat bertarikh 19 Mac lalu. Perbincangan juga telah dibuat dengan Pengarah MKN Wilayah Persekutuan dan Ketua Polis Daerah Dang Wangi.

"UMNO akan mematuhi SOP yang ditetapkan seperti pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal. Untuk tujuan itu, UMNO akan menambah anggota keselamatan seperti Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Skuad Sabil.

Iklan

"Pemerhati orang awam dan ahli UMNO yang bukan perwakilan tidak dibenarkan menghadiri PAU 2020 kali ini. Tidak ada gerai jualan dan 'food truck' dibenarkan beroperasi,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

PAU 2020 juga menyaksikan sejarah tersendiri kerana buat pertama kalinya akan diadakan secara kombinasi bersemuka dan maya di Dewan Merdeka PWTC dan secara maya di semua 190 UMNO Bahagian.

Iklan

Ucapan perasmian PAU 2020 akan berlangsung pada jam 8.30 pagi Ahad, diikuti ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai acara kemuncak.

Sementara itu, Ahmad berkata, ucapan dasar Ahmad Zahid; Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan; Ketua Wanita, Datuk Seri Noraini Ahmad; Ketua Pemuda, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki dan Ketua Puteri, Datuk Zahida Zarik Khan akan disiarkan secara langsung melalui media sosial termasuk Facebook Live, Facebook Watch dan UMNO Online.

"Perbahasan adalah berkaitan ucapan dasar ketua-ketua sayap dan ucapan dasar Presiden. Ucapan dasar mereka akan menyentuh isu berkaitan politik, ekonomi, sosial, agama, antarabangsa dan isu-isu sesama seperti Covid-19 serta vaksin,” katanya.

Sebanyak 42 agensi media cetak dan elektronik dijangka terlibat membuat liputan bagi perhimpunan kali ini, namun tiada petugas media yang dibenarkan berada dalam dewan persidangan.

Sebelum ini, Ahmad mengumumkan penangguhan perhimpunan itu yang sepatutnya berlangsung pada 30 dan 31 Januari lalu selaras dengan proklamasi darurat dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).