KUALA KANGSAR - Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Perak Fasa 1 yang menelan kos RM250 juta dapat menyelamatkan sungai itu daripada menjadi tempat pembuangan sampah.
Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ketika ini air Sungai Perak dikategorikan sebagai kelas pertama dan usaha mengindah serta memulihara kawasan sekitar perlu dilakukan segera agar tidak berlaku pencemaran seperti sungai yang lain.
Menurutnya, KASA dapati Sungai Perak di sini masih dapat mengekalkan tahap kebersihan yang tinggi berbanding sungai utama lain yang mana kebanyakannya sudah tidak lagi diketegorikan sebagai sungai kelas pertama.
"Strategi kita apabila kawasan pinggiran sungai itu hidup, ia akan menjadi penjagaan semua pihak termasuklah komuniti dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
"Dengan cara ini kita harapkan Sungai Perak tidak akan menjadi tempat pembuangan sampah," katanya pada sidang akhbar sempena majlis penyerahan projek PLSB Fasa 1 Living River Bike Trail dari Chenderoh ke Jambatan Victoria di Dataran Victoria, di sini pada Selasa.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang, Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Datuk Ir Nor Hisham Mohd Ghazali dan Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun.
Tuan Ibrahim berkata, peruntukan yang diluluskan di bawah Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) itu merangkumi 11 komponen melibatkan projek tebatan banjir, living river dan salinan mesra alam yang merujuk kepada satu projek khusus iaitu Projek Saliran Mesra Alam Daerah Kuala Kangsar.
Katanya, bagi komponen tebatan banjir, projek yang terlibat ialah Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Siput Chandan, RTB Kampung Gajah, RTB Teluk Intan Fasa Dua dan RTB Lenggong.
"Komponen living river pula melibatkan empat projek termasuklah Living River Bike Trail Kuala Kangsar dari Chenderoh ke Jambatan Victoria yang telah pun siap pada 6 Disember tahun lalu dengan kos RM2 juta.
"Projek sepanjang 25 kilometer ini menggunakan jalan kampung sedia ada, rizab sungai dan jalan JKR (Jabatan Kerja Raya) sebagai laluan berbasikal. Ia merupakan jalan penyambung antara kampung dan akses kepada jalan utama," katanya.
Beliau berkata, pembangunan dilakukan JPS itu bertujuan mendorong penduduk tempatan berganding bahu memelihara Sungai Perak secara mampan dan bersih.
Katanya, sebagai komitmen, kerajaan Perak akan membina sambungan 37 kilometer lagi laluan basikal di kiri dan kanan sungai sehingga ke Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Perak.
"Saya percaya dengan sokongan semua pihak akan dapat meningkatkan kualiti hidup penduduk dan mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi tujuan ke arah kesejahteraan hidup rakyat," katanya.