KOTA TINGGI - Seorang pemuda lemas manakala rakannya hilang setelah ditarik arus sewaktu mandi di Pantai Batu Layar, di sini pagi Selasa.
Dalam kejadian itu, Muhamad Hariz Farhat Omar, 23, yang berjaya ditemui orang awam, disahkan meninggal dunia manakala rakannya, Muhammad Hibatullah Hakim Razak, 23, masih belum ditemukan.
Komander Operasi, Penolong Penguasa Bomba Khairul Sufian Dahari berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Johor telah menerima panggilan kecemasan pada jam 10.59 pagi.
Susulan itu, dua jentera FRT, satu jentera EMRS, tiga utiliti Hilux penyelamat dan satu bot aluminium daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Punggai dan BBP Penawar serta Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) daripada BBP Skudai dengan kekuatan 19 anggota telah dikejarkan ke lokasi kejadian.
"Sebaik tiba, kita dapati salah seorang mangsa iaitu Muhamad Hariz telah dijumpai oleh orang awam di celah batu, iaitu kira-kira 30 meter daripada pantai.
"Pasukan bomba telah membuat rawatan awal (CPR) kepada mangsa dan telah disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di lokasi," katanya.
Jelas Khairul Sufian, mangsa dipercayai sedang mandi ketika air surut dan telah ditarik arus.
Katanya, usaha mencari seorang lagi mangsa masih dilakukan.