'Dapat rasa rumah bergoncang'

Iklan
Robiah menunjukkan keadaan atap bahagian tengah rumahnya yang tercabut diterbangkan angin dalam kejadian ribut di Kampung Baru Beserah di sini awal pagi pada Selasa.

KUANTAN - Seorang wanita warga emas hanya mampu berlindung dalam bilik seorang diri ketika rumahnya dipukul ribut dalam kejadian di Kampung Baru Beserah di sini, awal pagi pada Selasa.

Robiah Ghani, 60, tidak berani keluar rumah untuk menyelamatkan diri walaupun dia dapat merasakan kediamannya itu bergoncang dibadai angin.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun katanya, dia segera ke rumah salah seorang ahli keluarga yang tinggal berhampiran untuk berlindung apabila hujan sudah reda.

"Ketika itu saya melihat atap bahagian tengah rumah dan dapur sudah tercabut diterbangkan angin. Sebelum itu memang ada terdengar bunyi atap zink tercabut tetapi saya tidak berani keluar," katanya ketika ditemui di rumahnya.

Iklan

Namun, Robiah yang tinggal bersendirian di rumah itu sejak enam tahun lalu bersyukur kerana terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menceritakan kejadian ribut berkenaan, katanya, dia terjaga dari tidur kira-kira jam 4 pagi kerana mendapati hujan turun sangat lebat

Iklan

"Ribut kuat pada jam 5 pagi dan saya dapat rasakan rumah ini bergoncang," katanya yang masih terkejut dengan kejadian itu.

Menurutnya, buat sementara waktu dia terpaksa menumpang di rumah saudara terdekat dan berharap ada pihak yang membantu membaiki kediamannya kerana tidak selamat untuk diduduki.

Robiah antara sembilan mangsa ribut yang berlaku Kampung Baru Beserah.

Seorang lagi mangsa ribut Noraini Yaakob, 56, terpaksa menanggung kerugian selepas sebahagian atap kedai runcitnya tercabut diterbangkan angin.

Jelasnya, ketika kejadian dia berada di rumah dan hanya menyedari kerosakan kedainya kira-kira jam 7 pagi ketika datang untuk memulakan perniagaan.

"Atap bahagian ruang untuk memproses santan telah tercabut dan mesin yang digunakan juga terkena hujan.

"Mujur bahagian lain tidak terjejas dan barang jualan juga tidak rosak," katanya.

Noraini berkata, dia terpaksa membaiki segera kerosakan kedainya kerana bimbang dimasuki pencuri.

"Kedai ini baru dibuka kira-kira tiga bulan lalu dan tak sangka kejadian ini akan berlaku," katanya.

Kejadian berkenaan mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, Andansura Rabu yang menghulurkan bantuan kepada mangsa terlibat.

Andansura berkata, beliau menerima maklumat mengenai kejadian awal pagi itu dan bantuan segera dihulurkan oleh JKM, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) membabitkan barangan keperluan asas kepada mangsa terlibat.

"Selepas ini, semua mangsa diminta membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

"Hasil laporan itu nanti kita bawa ke Pejabat Daerah untuk permohonan bantuan membaiki rumah yang terjejas ini," katanya.