SERDANG - Menjadi satu agenda penting kerajaan pada masa ini untuk menjadikan Malaysia sebagai pengeluar makanan dengan menggunakan sumber tenaga cekap melalui penggunaan teknologi inovatif.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, aplikasi teknologi mekanisasi dan automasi terbukti sebagai pendekatan terbaik apabila dikaitkan dengan jaminan pengeluaran makanan secara berterusan.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan berusaha memperkukuhkan sektor agromakanan negara dengan menambahkan usaha meningkatkan pengeluaran domestik, perluasan teknologi moden dalam sektor pertanian dan pengurangan kebergantungan kepada import, sekali gus meningkatkan kualiti dan jaminan sekuriti makanan.
"Pendekatan baharu dan di luar kebiasaan sememangnya perlu bagi memastikan kita dapat menghadapi pelbagai cabaran sekuriti makanan termasuk pandemik Covid-19.
"Kita mesti terus memberikan penekanan yang lebih bagi penggunaan teknologi mekanisasi dan automasi, pembangunan model pertanian moden, pertanian tepat, agro robotik, aplikasi berasaskan Internet of Things (IoT) dan sebagainya sejajar dengan Revolusi Industri 4.0,” katanya ketika merasmikan Konvensyen Kebangsaan Kejuruteraan Pertanian dan Makanan (NAFEC) 2021 di Ibu Pejabat Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) di sini pada Selasa.
Hadir sama ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Haslina Abdul Hamid; Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr Mohamad Roff Mohd Nor; Presiden Persatuan Jurutera Pertanian dan Makanan Malaysia (MSAE), Profesor Dr Rosnah Shamsudin dan Pengerusi Jawatankuasa Induk NAFEC 2021, Dr Azman Hamzah.
Konvensyen yang berlangsung secara dalam talian selama dua hari bermula pada Selasa itu dianjurkan dengan kerjasama MARDI dan MSAE.
Sementara itu, Kiandee berkata, penggunaan teknologi mekanisasi dalam sektor pertanian dan kaedah yang sesuai dilihat dapat meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kehilangan lepas tuai.
"Sebagai contoh penggunaan Prosedur Operasi Standard (SOP) Kehilangan Lepas Tuai Padi yang dibangunkan oleh MARDI dapat mengurangkan kehilangan lepas tuai padi daripada 28.5 peratus kepada 7.9 peratus.
"Ini membuktikan keperluan mekanisasi dalam industri pertanian tidak boleh dipandang remeh kerana penggunaannya mampu memberi impak dalam meningkatkan hasil pengeluaran kepada negara dalam jangka masa panjang," katanya.
Menurut beliau, dengan penggunaan mekanisasi dan automasi, sistem pertanian pintar, aplikasi IoT dan dron dilihat mampu menarik minat petani dan pengusaha makanan dari golongan anak muda, sekali gus meningkatkan produktiviti pengeluaran dengan pengurusan yang cekap.
"Saya percaya kehadiran generasi muda akan menyemarakkan lagi profil sektor pertanian sebagai satu sektor dinamik, moden dan menjadi sumber kekayaan baharu negara setanding sektor ekonomi yang lain.
"Tidak saya nafikan terdapat peningkatan penyertaan golongan muda di beberapa peringkat rantaian pengeluaran makanan seperti pemasaran khususnya pemasaran dalam talian atau e-commerce.
"Namun saya mahu kita terus berusaha menggalakkan penyertaan lebih ramai golongan anak muda ini terlibat di sepanjang peringkat rantaian pengeluaran makanan merentasi semua sub sektor agromakanan,” katanya.
Pada majlis tersebut, Kiandee turut melancarkan dua penerbitan ilmiah berkaitan kejuruteraan pertanian dan makanan iaitu Buku Teknologi Kejuruteraan Agromakanan MARDI serta edisi pertama 'Advanced Agriculture and Food Research Journal (AAFRJ)' oleh MSAE.