SHAH ALAM - Majlis Setiausaha Pakatan Harapan (PH) menggesa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin segera menyiasat kewujudan ‘kartel’ dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang didedahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.
Perkara itu ditekankan dalam satu kenyataan ditandatangani bersama oleh Setiausaha Agong Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Setiausaha Agong Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Dr Hatta Ramli dan Setiausaha Agong DAP, Loke Siew Fook.
"Majlis Setiausaha PH mengikuti laporan-laporan media yang memetik Abdul Hamid sebagai berkata, wujudnya ‘kartel’ dalam kalangan pegawai yang berniat menjatuhkan beliau dengan tujuan meneruskan kerja-kerja kotor serta adanya budaya ‘ambil duit’ dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Kenyataan-kenyataan ini amat membimbangkan kerana seakan wujud usaha pihak-pihak tertentu untuk menjejaskan kebebasan dan integriti PDRM, yang secara langsung akan mendatangkan kesan buruk terhadap imej, reputasi dan kewibawaan PDRM itu sendiri.
"Oleh yang demikian, Majlis Setiausaha PH menggesa Menteri Dalam Negeri agar kewujudan ‘kartel’ ini disiasat segera serta diambil tindakan tegas," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Mereka menegaskan, isu tersebut tidak boleh dibiarkan kerana boleh memberi kesan buruk kepada PDRM.
"Elemen-elemen ‘kartel’ ini tidak boleh dibenarkan menyusup masuk dan mengawal PDRM, kerana akhirnya ia akan menghancurkan institusi tersebut," kata kenyataan itu.
ARTIKEL BERKAITAN: [EKSKLUSIF] 'Kartel dalam PDRM cuba jatuhkan saya'
Individu terlibat kuasai kartel PDRM dikenal pasti: KPN