KEPONG - Seorang wanita trauma apabila gambar separuh bogelnya tersebar di media sosial baru-baru ini.
Mangsa, Ng Mei Peng, 43, berkata, gambar itu tersebar sebanyak dua kali semasa sesi Facebook Live pada 12 Februari dan 18 Mac lalu selain di muat naik di saluran YouTube.
Dakwanya, individu yang menyebarkan gambar tersebut merupakan seorang wanita yang juga peniaga dalam talian bertujuan menarik tontonan bagi memasarkan produknya.
"Saya tak pasti bagaimana dia dapat gambar saya. Gambar itu terdapat pada telefon bimbit saya yang hilang pada tahun 2016.
"Tindakan wanita ini telah menjatuhkan maruah saya, malah dia turut mengeluarkan kata berbaur hinaan ke atas saya sewaktu sesi Facebook Live itu," katanya pada sidang akhbar di pejabat DAP Kepong di sini pada Selasa.
Mei Peng berkata, Facebook Live itu bagaimanapun telah disekat oleh pihak Facebook secara automatik kerana isi kandungannya berbaur lucah.
Namun begitu, dakwanya, gambarnya itu telah ditonton lebih 3,000 orang tidak termasuk yang telah menyebarkan ke grup-grup Facebook lain.
Susulan itu, katanya, dia telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi Malaysia (SKMM) dan polis untuk tindakan lanjut.
"Bukan hanya saya yang menjadi mangsa, terdapat beberapa wanita lain turut mengalami nasib sama.
"Maruah saya tercalar, malah dua anak perempuan saya juga turut menanggung malu. Terdapat juga mesej nakal dan tidak senonoh diterima selepas kejadian tersebut," katanya.
Dakwanya, individu sama turut mengupah pihak ketiga untuk membuat ugutan selepas tidak berpuas hati dengan tindakannya membuat laporan polis.
"Saya diminta membayar RM10,000 kerana membuat laporan polis. Saya kini dalam keadaan ketakutan dan tertekan.
"Bukan hanya maruah tercalar, malah turut diugut. Saya harap masalah ini dapat diselesaikan segera," katanya.