TAMPIN - Che Som Ibrahim, 69, pernah menyebut mahu mencari seorang 'pak cik' sehari sebelum dia dilaporkan hilang dari rumah di Taman Desa Permai Repah di sini 20 Mac lalu.
Warga emas terbabit keluar rumah tanpa pengetahuan anaknya Masturah Abdullah dan menantu, Abdul Halem Shamsuddin sebelum disedari pasangan berusia 30 tahun itu kira-kira jam 9 pagi.
Artikel berkaitan: Warga emas hilang tiga hari
Masturah berkata, emaknya sedang mandi ketika dia masak air di dapur dan kemudian masuk ke bilik untuk membuat kerjanya sebagai pereka dalaman bebas.
"Tidak lama selepas itu suami yang juga berada di bilik bertanya di mana mak? Saya jawab mungkin dah habis mandi ada di biliknya dan setengah jam kemudian suami bertanya lagi.
"Saya terus jenguk mak di biliknya tapi tiada. Saya pelik juga kali ini saya tak dengar langsung bunyi pintu grill besi rumah dibuka sebab kebiasaannya memang boleh terdengar," katanya ketika ditemui di sini pada Isnin.
Menurutnya, mereka tidak terus mencari sebaliknya memberi sedikit masa untuk emaknya pulang ke rumah berikutan wanita itu sering keluar dan kembali beberapa jam kemudian.
"Kemudian, suami pergi kerja dan saya pula dalam masa sama beritahu adik-beradik lain. Abang dan kakak ipar mula cari mak di Terminal 1, Seremban sebab mak pernah ziarah anak-anak di sana.
"Lebih kurang jam 11 pagi, abang saya di Seremban buat laporan polis dan suami pada sebelah malam di Tampin. Bila jadi macam ini, saya syak mak cari 'pak cik' yang disebutnya pada hari Jumaat iaitu sehari sebelum hilang.
"Sebenarnya saya tak tahu siapa pak cik dimaksudkan dan mak seolah-olah berhalusinasi. Bila tanya, mak hanya cakap, pak cik tu, pak cik tu," katanya.
Katanya, selepas periksa barangan peribadi, emaknya hanya membawa dompet kecil manakala beg silang yang sering dibawa setiap kali keluar masih terdapat di dalam bilik.
Sambal petai ikan masin untuk 'pak cik'
Pada pagi 19Mac lalu, emak Masturah yang sudah bertahun-tahun disahkan menghidap penyakit kesihatan mental ada keluar rumah dengan membawa cucunya berusia tiga tahun untuk mencari 'pak cik' tersebut.
Masturah berkata, Abdul Halem yang menyedari kedua-duanya tiada terus menunggang motosikal sebelum menemukan mereka berhampiran pondok pengawal kira-kira 300 meter dari rumah.
"Suami ada terdengar bunyi pintu 'grill' dibuka kemudian dia periksa keliling rumah tapi tak jumpa emak dan anak kami. Jadi, dia keluar cari mak dan ajak mak balik tapi mak tak mahu, dia cakap nak pergi jumpa 'pak cik'.
"Suami bawa anak balik dan sejam selepas itu mak yang balik ke rumah beritahu dia tak jumpa jalan ke rumah 'pak cik'. Selalunya mak memang begitu, dia akan keluar dan balik semula rumah.
"Walaupun sakit mental tapi mak jenis tahu, kenal dan ingat tempat yang dia pernah pergi malah mak boleh naik bas atau naik teksi sejak dulu lagi," katanya yang menetap dengan Che Som sejak tahun lalu.
Menurut Masturah, emaknya ketika itu keluar tidak membawa sebarang beg atau dokumen pengenalan diri melainkan anak lelakinya dan lauk sambal petai ikan masin yang dimasak sendiri sebelum keluar rumah.
"Mak sudah lama tidak memasak sejak kami duduk dengannya. Cuma, sesekali ada juga saya ajak mak masak, saja buat aktiviti dengan mak," katanya
Masturah berkata, ahli keluarga mencari emaknya itu sehingga ke Gemas selain menjejaki wanita itu bersama penduduk taman perumahan di kawasan ladang berhampiran.
"Kami juga cari di Taman Rekreasi Tampin dan semua lokasi pernah dilihat orang awam yang diberitahu kepada kami sejak Sabtu sampai hari ini (semalam). Ada yang kata nampak tapi sayangnya mereka tak ambil gambar.
"Kami ada juga minta bantuan perawat alternatif untuk kesan mak. Ada yang kata mak di rumah papan, ada juga kata mak ada dengan orang tapi tak tahu di mana ada juga kat dia bersama dengan orang yang tidak mempunyai kemudahan berhubung.
"Saya harap orang ramai boleh tolong doakan supaya kami dapat jumpa mak cepat dan tolong doakan juga mak saya dijumpai selamat serta sihat," katanya.
Lepat pisang, roti canai
Sementara itu, penduduk juga pembantu kedai, Safwan Muslim, 23, berkata, Che Som datang ke kedai bapanya, Muslim Md Din membeli kuih dan roti canai sebelum beredar dalam tempoh 5 minit.
"Mak cik Som beli empat lepat pisang dan tiga keping roti canai. Dia bayar terlebih dahulu dengan duit kertas RM50 jadi lepas siap roti canai, dia terus gerak ke arah jalan balik ke rumahnya.
"Sudah banyak kali mak cik Som datang beli di kedai, jadi kami tak ada rasa apa-apa yang pelik. Dia hanya memakai seluar dan blouse serta tudung putih bunga-bunga pada pagi itu, katanya.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Anuwal Ab Wahab berkata, polis menerima laporan dibuat Abdul Halem yang juga seorang kontraktor kira-kira jam 9.30 malam, Sabtu lalu.
Semalam, Sinar Harian melaporkan Che Som tidak pulang ke rumah dipercayai hilang sejak pagi Sabtu dan orang ramai yang mempunyai maklumat atau berjumpa dengannya boleh hubungi Abdul Halem di talian 013-2729741 atau Zamzuri, 014-6416179.