SUNGAI PETANI - Cuaca panas sepanjang musim kemarau di Kedah sejak beberapa bulan kini sejuk selepas hujan mulai turun membasahi bumi Jelapang Padi ini.
Bagaimanapun lebih menarik perhatian apabila beberapa lokasi di sekitar Sungai Petani dan daerah Kuala Muda dihiasi dengan pemandangan indah bunga Sakura Kedah yang kembali mekar seperti tahun sebelumnya.
Antara lokasi yang dikenal pasti termasuk sekitar Ambangan Heights, Tanjung Dawai, Bedong serta beberapa kawasan lain yang mempunyai deretan pokok terbabit.
Penduduk, Nor Zurina Kasim, 26, berkata, bunga yang mekar itu mengindahkan kawasan perumahan kerana warna putih dan merah jambu yang menonjol telah menaikkan aura kegembiraan selain menimbulkan suasana ceria setiap kali melalui kawasan tersebut.
"Sejak beberapa hari ini, anak-anak seronok apabila balik rumah kerana jalan yang kami lalui dipenuhi dengan Sakura Kedah membuatkan masing-masing bersorak keriangan," katanya.
Seorang lagi peminat bunga itu, Mohd Kamal Ahmad Latif, 38, berkata, dia dan isteri terhibur melihat gelagat anak-anak yang berebut ingin mengambil gambar apabila melalui kawasan tersebut.
"Rasa macam berada di tempat lain sedangkan jalan sama laluan balik ke rumah setiap hari," katanya.
Sementara itu, warga emas Rodziah Ahmad, 73, berkata, ketika melalui jalan menuju ke Tanjung Dawai ternampak beberapa kenderaan berhenti tepi jalan kerana ingin merakamkan gambar kenangan melihat bunga Sakura Kedah kembang mekar.
Menurutnya, suasana itu menarik perhatian ramai termasuk pengunjung yang ingin ke Tanjung Dawai.
"Selalu tengok kat Alor Setar awal bulan Mac bunga kembang, tapi tahun ni belum nampak lagi, mungkin belum kembang tetapi hari ini lalu jalan Tanjung Jaga, Yan terus belok ke Tanjung Dawai dah nampak bunga banyak di kiri dan kanan jalan,"katanya.
Menurutnya, sekiranya kawasan itu diberi perhatian dengan penambahan beberapa kemudahan lain, sudah pasti menjadi tarikan pelancongan khususnya bagi mereka yang ingin merakamkan potret kenangan termasuk fotografi buat pasangan pengantin.