Guna aplikasi digital tingkat hasil sawit

Iklan
Ahmad Faisal (tengah) mewakili Razman pada penutup Bengkel Perladangan Digital anjuran PPPNP di Ipoh pada Selasa.

IPOH - Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) menjadi antara syarikat perladangan terawal mengguna pakai tiga aplikasi digital dalam mengusahakan ladang kelapa sawit di negeri ini.

Exco Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Razman Zakaria berkata, tiga aplikasi berkenaan ialah My Maps, Google Earth dan 3D Mapper selari dengan perkembangan teknologi pertanian pintar.

Iklan
Iklan

Menurutnya, penggunaan tiga aplikasi itu terbukti memberi impak luar biasa pada sektor berkenaan dengan membantu membuat keputusan bagi meningkatkan hasil ladang kelapa sawit.

"PPPNP memiliki ladang kelapa sawit seluas 18,093.31 hektar dan ladang getah seluas 2,349.90 hektar.

Iklan

"Pada tahun 2020, perbadanan ini telah merekodkan peningkatan hasil sawit sebanyak empat peratus dengan jumlah 171,256 metrik tan berbanding 164,553 metrik tan tahun sebelumnya.

"Dengan keadaan harga sawit semasa yang tinggi berbanding sebelum ini, amat wajarlah elemen teknologi digital ini digunakan bagi menambah baik produktiviti dan keberkesanan pengurusan hasil ladang," katanya ketika berucap pada penutup Bengkel Perladangan Digital anjuran PPPNP di sini pada Selasa.

Iklan

Teks ucapan dibacakan Pegawai Khas beliau, Ahmad Faisal Mohd Puait.

Bengkel sehari itu disertai seramai 43 peserta terdiri daripada barisan pengurus kanan, pengurus dan penolong pengurus ladang dari seluruh Perak.

Sementara itu, Razman berkata, sebagai anak syarikat kerajaan negeri, PPPNP tidak boleh membiarkan ketirisan hasil terus berlaku terutama dalam keadaan harga yang sangat baik.

Katanya, peningkatan hasil PPPNP bukan sahaja untuk nilai keuntungan semata-mata tetapi akan memberi manfaat kepada rakyat Perak secara keseluruhan melalui program yang dilaksanakan seperti Ladang Untuk Rakyat dan Ladang Rakyat.

"Harapan saya pada tahun ini ialah PPPNP mampu meningkatkan pendapatan dan keberhasilan ladang sawit serta memastikan dividen dan sumbangan PPPNP kepada kerajaan negeri dan rakyat dapat dipertingkatkan," katanya.