'Harga minyak sawit dijangka terus tidak menentu 2021'

Iklan
Pengeluar minyak sawit juga terpaksa menyesuaikan diri dengan situasi kekurangan tenaga kerja yang membawa kepada penurunan 3.6 peratus pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) pada 2020 berbanding 2019.

KUALA LUMPUR - Peserta dalam pasaran minyak sawit perlu bersedia untuk berdepan dengan satu lagi tahun yang tidak menentu dengan elemen cuaca, pemulihan ekonomi dan perubahan dasar di Barat berpotensi menyebabkan peningkatan kemeruapan harga.

Pengerusi Bursa Malaysia Derivatives (BMD) yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Bhd Datuk Muhamad Umar Swift berkata, dalam persekitaran yang sangat tidak menentu, syarikat perlu menimbang melaksanakan instrumen pengurusan risiko harga yang lebih kukuh bagi menangani turun naik harga komoditi dan menjadikan perniagaan mereka kekal kompetitif.

Iklan
Iklan

"Meramalkan impak berterusan Covid-19 ke atas perniagaan dan aktiviti ekonomi yang mencabar, kami sekali lagi mengumpulkan penceramah dan pakar dalam bidang masing-masing untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman mereka yang boleh membantu peserta industri dalam landskap pasca pandemik,” katanya dalam ucap tama beliau semasa Persidangan Prospek Harga Minyak Sawit dan Laurik Maya (POC 2021 Maya) kedua, di sini, hari ini.

Muhamad Umar berkata, pandemik itu menjejaskan ekonomi global dalam tiga cara iaitu memberi kesan secara langsung kepada pengeluaran dan permintaan, mewujudkan gangguan rantaian bekalan dan pasaran dan membawa impak kewangan kepada firma dan pasaran kewangan.

Iklan

Akibatnya, katanya, pengeluar minyak sawit terpaksa menyesuaikan diri dengan situasi kekurangan tenaga kerja yang membawa kepada penurunan 3.6 peratus pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) pada 2020 berbanding 2019.

"Selain itu, kita melihat eksport MSM tinggi pada separuh kedua 2020 berikutan pengecualian cukai oleh kerajaan Malaysia.

Iklan

"Dengan tiga peristiwa utama ini, harga MSM mencatatkan peningkatan 29 peratus tahun ke tahun susulan inventori rendah, permintaan tinggi serta harga minyak kacang soya tinggi, yang merupakan pengganti MSM,” katanya.

Muhamad Umar berkata, BMD akan terus membangunkan pasaran yang mampan dengan menambah baik ekosistem serta meningkatkan produk sebagai instrumen lindung nilai terjamin dalam mendepani kemeruapan harga.

"Kita terus komited untuk memupuk pembangunan mampan dan menggalakkan pertumbuhan bertanggungjawab bagi industri.

"Mulai 1 April, 2021, kami menetapkan hanya MSM diperakui pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) diserahkan secara fizikal dalam kontrak niaga hadapan MSM (FCPO) kami,” katanya.

POC 2021 Maya yang berlangsung selama dua hari (23-24 Mac) menarik lebih 2,500 pendaftaran dan hampir 1,700 peserta dari 55 negara. - Bernama