PENINGKATAN jenayah kebencian terhadap penduduk berketurunan Asia di Amerika Syarikat (AS) dikatakan bermula sejak pandemik Covid-19 mula menular di seluruh dunia pada 2020 setelah ia dikesan di Wuhan, China pada penghujung tahun 2019.
Pusat Kajian Mengenai Kebencian dan Ekstremisme AS pernah menyiarkan laporan yang menunjukkan peningkatan dalam jenayah kebencian terhadap penduduk keturunan Asia pada 2020 di 16 bandar raya di Amerika melonjak sebanyak 149 peratus.
Menurut satu kajian terbaharu, bekas Presiden AS, Donald Trump pernah mengelarkan Covid-19 sebagai virus China sekali gus dianggap menyumbang kepada peningkatan jenayah kebencian terhadap penduduk Amerika Asia.
Kajian itu disiarkan oleh Universiti California, San Francisco, AS yang mendapati sebelum dan selepas Trump membuat ciapan tersebut, para pengkaji menemui 1.2 juta tanda pagar anti-Asia di Twitter.
Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Jen Psaki pernah berkata bahawa bekas Presiden AS itu kerap mengulangi kenyataan bahawa Covid-19 sebagai virus China dan kung fu sekali gus dianggap membantu meningkatkan jenayah kebencian terhadap penduduk berketurunan Amerika Asia di AS.
Ciapan Trump itu juga menjadi perhatian pada minggu lalu apabila seorang pemuda Amerika berusia 21 tahun ditangkap oleh pihak berkuasa setelah dia melepaskan tembakan di tiga buah spa kesihatan di Atlanta, Georgia.
Dalam kejadian itu, penduduk berkulit putih, Robert Aaron Long dari Woodstock, Georgia ditangkap oleh polis setelah dia menembak mati lapan orang wanita dengan enam daripadanya berketurunan Asia pada 16 Mac lalu.
Dia berdepan dengan lapan dakwaan membunuh dan satu dakwaan melakukan serangan teruk dalam kejadian yang menurut portal berita The Conversation melibatkan empat wanita berketurunan Korea serta dua lagi mempunyai darah Cina.
Menurut pihak penguat kuasa undang-undang, dia dilaporkan mengaku melakukan serangan itu bukan kerana disebabkan oleh rasa benci terhadap wanita berketurunan Asia tetapi lebih kepada ketagihan seksnya.
Bagaimanapun, Pengarah Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), Chris Wray berkata, dalam satu wawancara dengan stesen radio NPR baru-baru ini bahawa motif sebenar lelaki bersenjata itu membunuh wanita-wanita berkenaan masih lagi belum diketahui.
Wakil-wakil rayat AS dan pembela anti-perkauman pula percaya pembunuhan itu didorong oleh sentimen anti-Asia.
Kejadian tembakan tersebut turut mendapat perhatian daripada Presiden AS, Joe Biden dan Naib Presidennya, Kamala Harris pada Jumaat lalu dengan meminta semua warganegara itu bersatu bagi menyatakan tentangan terhadap keganasan yang menyasarkan penduduk Amerika Asia.
Biden juga mengarahkan supaya bendera AS dikibarkan separuh tiang sehingga 22 Mac lalu bagi memberikan penghormatan terhadap lapan wanita berketurunan Asia itu yang terbunuh dalam kejadian tersebut.
Presiden AS itu juga meminta supaya Kongres negara itu meluluskan rang undang-undang jenayah kebencian sebagai cara untuk memerangi kadar peningkatan keganasan ke atas penduduk berketurunan Asia semasa pandemik Covid-19 masih berleluasa di negara tersebut.
Kelulusan rang undang-undang itu dipercayai akan meningkatkan kemampuan kerajaan Persekutuan untuk bertindak ke atas jenayah kebencian yang berlaku di negara berkenaan.
Setakat ini, hanya tiga buah negeri iaitu South Carolina, Arkansas dan Wyoming yang tidak mempunyai undang-undang jenayah kebencian.
Pengerusi sebuah jawatankuasa kecil keadilan Dewan Perwakilan AS, Steven Cohen memberitahu, penduduk berketurunan Asia menjadi sasaran gangguan antaranya secara lisan, ditolak secara ganas, dihina atau dikelar dengan pisau kecil.
Negeri Georgia mempunyai hampir 500,000 penduduk berketurunan Asia atau lebih empat peratus daripada penduduknya, menurut Dana Pembela Amerika Asia.
Berikutan itu, ramai wanita Asia dilaporkan berasa kurang selamat di AS antaranya ialah seorang wanita berketurunan Kemboja, Vanny Mann yang menyatakan beliau dihantui dengan perasaan takut selepas kejadian tembakan tersebut berlaku.
Menurut portal berita ABC 7, Mann dilaporkan berkata, beliau hanya mahu pergi bekerja dengan selamat dan mahu menyara keluarganya di AS.
Portal berita The Texas Tribune melaporkan, seorang penduduk berketurunan Asia di San Antonio, Mike Nguyen berkata, beliau kini takut untuk berada di luar rumah dan ketakutannya bertambah selepas kejadian tembakan itu berlaku di Atlanta. - Agensi