AL-KISAHNYA dua hari lepas Merak Jalanan dan dua rakan singgah ke sebuah kedai makanan Siam untuk minum petang di Seksyen 7, Shah Alam.
Menurut rakan Merak Jalanan, makanan di situ macam kerabu maggi dan tom yam boleh tahan sedapnya.
Sebaik kami selesai memesan makanan, satu bakul kecil berisi 10 keping otak-otak dan dua cucuk sata turut diletakkan di atas meja.
Kedua-dua kudapan itu merupakan makanan tradisional yang berasaskan ikan yang terkenal di Johor dan Terengganu.
Kami pun makanlah lima keping otak-otak dan dua cucuk satar. Pada setiap cucuk ada tiga ketul satar yang dibalut kemas dengan daun pisang.
Mengenangkan rakan-rakan di pejabat, kami membuat keputusan untuk membawa pulang baki otak-otak dan menambah dua lagi cucuk sata.
"Total semuanya RM35,” ujar peniaga wanita sambil membakar otak-otak dan sata jualannya.
Rakan Merak Jalanan yang mahu membayar terkedu. Macam mana sebakul otak-otak dan empat cucuk sata boleh sampai RM35. Rakan Merak Jalanan pun lantas meminta penjelasan.
Peniaga itu pun menambah,"Sekeping otak-otak RM1.70 jadi jumlahnya RM17, secucuk sata RM4.50 jadi empat jumlahnya RM18.”
Terkejut sungguh Merak Jalanan dengan harga kayangan sata dan otak-otak itu. Ini bermakna seketul sata dijual pada harga RM1.50.
Merak Jalanan pernah bekerja di Terengganu beberapa tahun dulu, bahkan sempat bercuti di Kemaman setahun lepas sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Seingat Merak Jalanan, seketul sata dijual sekitar harga 50 sen atau secucuk sekitar RM1.50 atau RM2 sahaja.
Betullah kata orang mana nak sama harga di pantai timur dengan di Lembah Klang. Tapi kalau sudah naik sampai tiga kali ganda, itu memang cekik darah.