HULU TERENGGANU - Seorang pekerja asing cuba meloloskan diri dengan melompat pagar kerana enggan menjalani pemeriksaan Jabatan Imigresen Malaysia Terengganu dalam operasi yang dijalankan di sebuah tapak pembinaan di Kampung Pulau Kudat, di sini pada Isnin.
Bagaimanapun, warga asing berkenaan akhirnya berjaya ditahan sepasukan pegawai penguat kuasa imigresen setelah gagal melarikan diri.
Pengarah Imigresen Negeri, Tuan Ungku Joha Ungku Mohamad berkata, dua pekerja asing diperiksa di lokasi berkenaan dan seorang daripadanya merupakan warga Indonesia ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah.
Beliau berkata, operasi disertai 15 pegawai penguat kuasa itu bermula jam 8.30 pagi hingga 2 petang melibatkan tujuh lokasi pembinaan di sekitar Hulu Terengganu.
"Seramai 11 pekerja asing ditahan dalam operasi kali ini melibatkan enam kesalahan iaitu tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah manakala lima kesalahan lagi gagal mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dengan melanggar syarat pas diberikan," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Beliau berkata, dalam operasi tersebut pihak imigresen telah memeriksa seramai seramai 40 pekerja terdiri daripada 27 warga asing dan 13 warga tempatan.
"Dua kesalahan dikesan dilakukan pekerja asing ini iaitu tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan melanggar syarat pas diberikan," katanya.
Menurutnya, kesemua yang ditahan melibatkan warganegara Bangladesh, Myanmar dan Indonesia telah dibawa ke Klinik Kesihatan Ajil, Hulu Terengganu bagi tujuan ujian saringan Covid-19 sebelum dihantar ke Depot Imigresen Ajil.
"Hasil ujian saringan Covid-19 ke atas mereka yang ditahan adalah negatif," katanya.