SAYA terasa aura 'good feeling' di kalangan hadirin program Bicara Minda, akhbar Sinar Harian 7 Februari lalu. Sebilangan daripada yang datang pada petang itu adalah regulars ~ mereka yang kerap hadir di program-program secara live anjuran Sinar Harian sama ada Bicara Minda ataupun Wacana Sinar. Sebahagian yang lain adalah ahli-ahli UMNO, termasuk yang senior seperti Dr Mohamad Khir Toyo dan juga Ketua Pemuda UMNO, Dr Asyraf Wajdi. Tetapi yang lebih ramai ialah orang awam yang ingin mengenali DS Mohamad Hasan secara dekat.
Apabila Datuk Seri Mohamad Hasan atau lebih dikenali sebagai Tok Mat muncul di pentas, beliau disambut dengan tepukan dan sorakan tanda gembira mereka yang hadir. Pemimpin UMNO yang berkemeja belang biru-putih itu tampak santai dengan lengan bajunya yang berlipat. Beliau membawa imej orang biasa. Tidak nampak ketokohan seorang pemimpin sebuah parti politik terbesar Malaysia, sehinggalah beliau mula bertutur dengan sopan, lancar dan penuh berbahasa.
Moderator majlis TS Johan Jaafar tidak bermukadimah panjang. Sebaliknya beliau terus memulakan sesi Bicara Minda itu dengan meminta Tok Mat mengulas mengenai kemenangan BN di PRK Cameron Highlands.
Tok Mat memberitahu kelegaan BN apabila menang di Cameron Highlands setelah kalah tiga kali berturut-turut di PRK sebelum ini. Namun, Tok Mat menyentuh bagaimana MIC memberi laluan untuk tidak meletakkan calonnya, sepertimana formula konsensus tradisi BN ~ calon yang bertanding di dalam PRK hendaklah dari parti yang memegang kerusi sebelum itu.
Yang penting, bagaimana perhubungannya dengan calon Ramli Mohd Noor tatkala menjadi pegawai polis di Negeri Sembilan ketika beliau menjadi Menteri Besar boleh mencetuskan idea untuk beliau mempelawa YB Ramli menjadi calon BN. Maknanya, beliau berfikir di luar kotak lalu meletakkan 'winnable candidate' yang membawa hasil. Bukan sahaja hasil untuk mengekalkan kerusi itu di tangan BN, malah berhasil meniup angin perubahan yang mula membimbangkan PH. Tok Mat muncul untuk memimpin UMNO tepat pada masanya.
UMNO yang tewas kerusi, moral dan semangat pada PRU14 tampak kelam-kabut dan panik pada mulanya. Ramai para pemimpinnya hilang kerusi dan jawatan, ada yang meninggalkan parti, harta parti dibeku dan tokoh-tokohnya berdepan dengan tindakan mahkamah. Parti yang dirombak kepimpinannya pada tahun lalu diperkemaskan dengan pelantikan beliau sebagai peneraju utama parti. Tok Mat sedar ada pucuk-pucuk parti yang layu. Tetapi akar umbinya masih kukuh tidak berganjak.
Sebab itu, beliau dapat fokus kepada dua perkara yang dijadikan agenda parti iaitu memperkasakan UMNO dan menyusun strategi memenangi PRU15. PRK Cameron Highlands, PRK Semenyih dan barangkali PRK Rantau adalah check-points, dry run dan simulasi untuk beliau mengukur keberkesanan jentera parti dan penerimaan rakyat kepada UMNO dan BN itu sendiri.
Nampaknya, Tok Mat selesa dengan tugasnya. Dan, pasukan MTnya, Wanita, Pemuda dan Puterinya juga selesa dengan cara kepimpinannya. Dalam kedudukan
parti sebagai underdog, persepsi umum tidak lagi tertumpu kepada UMNO sebagai bahan belasahan. Sebenarnya beliau bekerja dalam suasana tenang dalam gelora kerana gelora yang membadai di sekelilingnya adalah gelora yang sedang menyongsong bahtera PH yang kini terumbang-ambing. Rakyat nampaknya tidak senang dengan cara kerajaan Malaysia Baharu mengendalikan bahteranya. Ada sahaja isu yang membuatkan rakyat melompat.
Media sosial dengan kekuatan tularnya amat menyukarkan pemerintah untuk mengawal persepsi. Ironinya, suasana yang sama itu jugalah yang dihadapi oleh kerajaan BN menjelang pilihanraya umum dahulu. Keadaan ini memberi kesempatan untuk Tok Mat dan pasukannya menyusun dan memperkemas parti. Kekalahan UMNO dalam PRU14 telah menyedarkan para pemimpinnya.
Tindak-tanduk mereka nampaknya lebih terkawal. Semangat membela bangsa yang terlahir kelihatan bukan dibuat-buat. Mereka kembali berani mengaku Melayu dan jelas mempamerkan hasrat membela bangsa.
Sama ada rakyat percaya atau tidak, hanya masa yang akan menentukan. Yang penting, UMNO sebagai parti utama dalam BN yang mengendalikan negara perlu segera berdiri tegap untuk memainkan peranan semak dan imbang dalam sistem demokrasi. Unsur-unsur ke arah terbentuknya sistem dua parti kepada Malaysia semakin menyerlah. Kekuatan parti UMNO dan BN juga akan memaksa Pakatan Harapan memperbetul diri serta memperhebatkan prestasinya. Ia bagus untuk kita semua kerana boleh memilih yang terbaik di antara yang baik!