Semua tuduhan tidak berasas: MAINS

Iklan
Kenyataan pemilik akaun Facebook yang menggunakan nama Saff Rainz empat tahun lalu, kini tular semula.

SEREMBAN – Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) kesal dengan tuduhan tidak berasas pemilik akaun Facebook yang menggunakan nama ‘Saff Rainz’ terhadap agensi itu yang tular baru-baru ini.

Menerusi status yang dimuat naik, pemilik akaun berkenaan mendakwa pegawai zakat di seluruh negeri banyak buang masa dengan main telefon, lepak di kedai dengan berborak selain tidak menjejaki golongan asnaf seperti yang sepatutnya dilakukan.

Iklan
Iklan

Antara lain yang ditulis ialah kelulusan bantuan yang dimohon misalnya bantuan RM300 untuk keperluan barangan dapur perlu menunggu berbulan-bulan selain kos kos menaik taraf bangunan agensi itu menggunakan duit zakat termasuk gaji kakitangannya.

Menjawab tuduhan itu, Setiausaha MAINS, Datuk Kamal Amran Kamarudin berkata, melihat kepada skop kerja kakitangan agensi itu, mereka tidak ada masa melakukan perkara seperti didakwa.

Iklan

"Selain bertugas di kaunter, mereka juga akan hantar bantuan bulanan secara tunai kepada asnaf yang tiada akaun bank dan sentiasa turun padang menjejaki mereka yang tercicir menerima bantuan.

"Kakitangan kita bukannya duduk di pejabat semata-mata. MAINS memang ada buka talian hotline untuk mudahkan orang beri maklumat berkenaan orang yang perlukan bantuan, tapi itu bukan bermaksud kami tidak cari, cuma sekadar harapkan kerjasama orang ramai supaya tiada kes terlepas pandang,” katanya.

Iklan

Menurutnya, pada tahun lalu, daripada 40,174 jumlah permohonan, seramai 35,793 atau 89 peratus yang diluluskan.

Beliau berkata, purata permohonan bantuan setiap bulan ialah seramai 3,347 atau lebih 167 permohonan yang diproses setiap hari, pada waktu bekerja.

"Tempoh proses permohonan yang lengkap iaitu sehingga cek keluar atau dimasukkan ke akaun penerima ialah 14 hari waktu bekerja.

"Bantuan barangan dapur juga boleh dapatkan serta merta melalui cetakan baucar di kaunter jika maklumat pemohon lengkap dan layak menerima, bukannya perlu tunggu berbulan-bulan,” katanya.

Kamal Amran berkata, sebahagian besar kes orang susah yang dilaporkan di akhbar telah pun menerima bantuan zakat selain telah menerima berbagai skim bantuan lain.

Berkenaan tuduhan kos menaik taraf bangunan agensi itu menggunakan duit zakat termasuk gaji kakitangannya, beliau berkata, telah diperuntukkan dalam asnaf zakat iaitu amil 1/8 untuk digunakan bagi membiayai pengurusan institusi zakat.

Namun jelasnya, jumlah yang boleh digunakan perlu terlebih dahulu mendapat kelulusan dari Jawatankuasa Hukum Syarak dan bukan sewenang-wenangnya digunakan.

"Kami juga sentiasa diaudit dan MAINS telah menerima sijil audit bersih empat tahun berturut-turut dan empat bintang bagi indeks akauntabiliti pengurusan kewangan daripada Jabatan Audit Negara juga empat tahun berturut-turut.

"Tahun lalu, jumlah agihan zakat diterima ialah RM125,257,096.56 yang mana jumlah kutipan ialah RM130,703,905.91 atau 95.8 peratus jumlah kutipan zakat telah diagihkan,” katanya.

Namun berdasarkan carian Sinar Harian, status berkenaan merupakan status lama yang dimuat naik empat tahun lalu tetapi telah ditularkan semula baru-baru ini.

Malah akaun menggunakan nama Saff Rainz juga telah tiada.