KOTA TINGGI - Pengguna jalan raya yang melalui laluan Jalan Kota Tinggi-Mersing diminta lebih berhati berhati dan berwaspada dengan kehadiran gajah liar di kawasan berkenaan.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor, Salman Saaban berkata, laluan terbabit terutama di Batu 4 sehingga Batu 14 merupakan kawasan lintasan kumpulan gajah dari Hutan Simpan Panti.
Iklan
Iklan
"Dianggarkan terdapat kira-kira 30 hingga 40 gajah yang tinggal di Hutan Simpan Panti.
"Gajah-gajah ini bergerak dari Hutan Simpan Panti ke kawasan pertanian di seberang jalan untuk mencari makanan terutamanya pada waktu malam hingga awal pagi," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Menurut Salman, terdapat sebanyak 20 papan tanda amaran lintasan hidupan liar diletakkan di kiri kanan jalan bagi memberi peringatan kepada pengguna jalan raya agar berhati-hati.
"Sekiranya ternampak atau terserempak dengan gajah, jangan bunyikan hon atau memasang lampu tinggi kerana tindakan itu akan mengganggu gajah berkenaan sekali gus dibimbangi akan mengundang bahaya," katanya.
Tular video berdurasi tujuh saat memaparkan sekumpulan gajah melintas di Batu 6 Jalan Kota Tinggi- Mersing sejak Selasa manakala pada Ahad tular video seekor gajah liar muncul mencari makanan di deretan gerai di Simpang Perani, Jalan Kota Tinggi-Mersing.