Polis serbu makmal proses ekstasi, rampas RM11.8 juta dadah

Iklan
Sahabudin (tengah) menunjukkan dadah bernilai RM11.8 juta yang dirampas di rumah mewah yang dijadikan makmal memproses dadah.

BUKIT MERTAJAM - Cubaan dua lelaki melarikan diri dengan merempuh kereta polis di kawasan perumahan Taman Pauh Jaya, Seberang Jaya, di sini gagal apabila mereka ditahan dalam operasi pada Isnin lalu sekali gus membawa kepada penemuan dadah bernilai RM11.8 juta.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abd Manan berkata, dalam kejadian pada jam 9.30 pagi itu, kedua-dua lelaki yang menaiki kereta jenis Range Rover Evoque memecut laju namun berjaya ditahan di kawasan Taman Sutera, iaitu kira-kira tiga kilometer dari lokasi kejadian.

Iklan
Iklan

Menurutnya, susulan penahanan kedua-dua suspek warga tempatan itu, polis menyerbu sebuah rumah di Taman Pauh Jaya pada jam 1.20 petang, hari sama.

"Pemeriksaan di rumah teres tersebut menjumpai pelbagai jenis dadah bernilai RM11.8 juta antaranya 170,272 gram methylenedioxymethamphetamine (MDMA); 25,000 gram serbuk kafein; 23,600 gram pil ekstasi; 3,500 biji pil eramin 5, 5,000 gram jus MDMA dan 10 liter cecair alkohol.

Iklan

"Selain itu, polis turut merampas serbuk kafein, cecair kimia, peralatan dan perkakasan memproses dadah serta mesin membuat tablet di rumah tersebut," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah di sini pada Rabu.

Beliau berkata, selepas soal siasat dijalankan ke atas dua suspek berusia 33 dan 37 tahun itu, polis menahan seorang lagi lelaki di Sungai Petani, Kedah pada jam 5.30 petang untuk membantu siasatan.

Iklan

"Lelaki berusia 30 tahun itu merupakan adik kepada salah seorang suspek yang ditahan. Siasatan awal mendapati dua lelaki ditahan itu berperanan sebagai pakar kimia.

"Mereka mempunyai kepakaran untuk memasak serta memproses ekstasi," katanya.

Sahabudin menunjukkan kenderaan yang disita dari sindiket memproses dadah yang ditahan pada Isnin.

Sahabudin berkata, ketiga-tiga suspek merupakan ahli sindiket pengedaran pil ekstasi yang aktif sejak September tahun lalu.

"Kita percaya rumah tersebut dijadikan makmal memproses dadah jenis ekstasi berdasarkan rampasan peralatan dan perkakasan yang dibuat. Selain dadah, kita turut menyita enam buah kenderaan antaranya Range Rover, Toyota Camry, Subaru dan Mercedez Benz.

"Turut disita sebuah motosikal dan beberapa barang kemas serta dua akaun bank dengan nilai keseluruhan sitaan berjumlah RM525,800. Oleh itu, nilai keseluruhan dadah dan sitaan adalah RM12.34 juta," katanya.

Menurutnya, dadah tersebut adalah untuk pasaran tempatan dan jika terlepas di pasaran, ia mampu dibekalkan kepada 651,134 penagih.

"Sindiket tersebut menyewa rumah di kawasan perumahan elit untuk dijadikan makmal memproses dadah bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

"Setiap biji pil esktasi dijual kepada rangkaian sindiket dengan harga RM5 hingga RM10 sebiji sebelum dijual semula kepada pelanggan dengan harga RM25 hingga RM35 sebiji.

"Sindiket itu juga menghasilkan jus MDMA dengan membungkus semula jus tersebut dalam pek minuman segera (3 dalam 1). Setiap pek dijual di antara RM250 hingga RM300 di pusat hiburan," katanya.

Sahabudin berkata, dua suspek didapati positif methamphetamine manakala seorang lagi negatif.

"Dua daripada suspek mempunyai rekod lampau melibatkan dadah manakala lelaki yang ditahan di Kedah tiada rekod jenayah. Kesemua suspek direman tujuh hari sehingga 29 Mac ini untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.