SUBANG - Seorang saksi mendakwa mendengar dentuman kuat sebelum melihat kejadian sebuah helikopter terhempas di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) di sini, pada Rabu.
Hanya mahu dikenali sebagai R Romu, 74, saksi itu berkata, dia menyedari kejadian berkenaan ketika sedang bekerja di kawasan berhampiran.
"Saya berada kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian dan mendengar bunyi dentuman kuat dari kawasan kargo lapangan terbang.
"Saya sedang bekerja ketika kejadian dan memang sudah terbiasa mendengar bunyi helikopter serta kapal terbang namun tidak sangka bunyi dentuman itu datang dari sebuah helikopter terhempas,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini pada Rabu.
Romu berkata, tidak lama kemudian ambulans dan polis tiba untuk memberi bantuan.
Sebelum itu, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Anggerik dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada jam 9.26 pagi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, terdapat lima mangsa dan kesemua dilaporkan dalam keadaan stabil.
"Tiada kemalangan jiwa dan dua mangsa dilaporkan cedera," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Helikopter terhempas, dua cedera