SEMENYIH - Semenyih menyimpan 1,001 cerita seperti kisah raja-raja Melayu, zaman darurat, perjuangan tentera British dan orang Melayu serta perpaduan kaum yang terjalin di kawasan itu.
Setiausaha Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Selangor, Azril Nurman Abu Bakar Berkata, terdapat beberapa versi nama Semenyih, antaranya versi paling popular adalah perkataan 'semunyi' dari dialek bahasa Minang bermaksud sembunyi yang kemudiannya menjadi Semenyih.
"Istilah ini juga berpunca daripada perintah Engku Husain kepada pengikutnya supaya bersembunyi dari buruan pemerintah Negeri Sembilan,” katanya.
Azril Nurman berkata, Semenyih ini asalnya di bawah pemerintahan Negeri Sembilan dan Lukut di bawah pemerintahan negeri Selangor.
"Semasa zaman Sultan Abdul Samad, Lukut diserahkan kepada Negeri Sembilan dan Semenyih diserahkan kepada Negeri Selangor,” katanya.
Menurutnya, kawasan Semenyih dipercayai tempat menyembunyikan diri untuk para pahlawan yang kalah dalam peperangan sebelum ini.
"Apabila mereka kalah perang, mereka akan melarikan diri dan bersembunyi di sini,” katanya.
Beliau berkata, satu lagi versi, nama Semenyih mungkin dipilih sempena nama Sungai Semenyih.
"Sungai Semenyih merupakan anak Sungai Langat, ada satu lokasi telah didirikan menjadi penempatan sehingga menjadi pekan,” katanya. Azril Nurman berkata, pekan Semenyih turut mengalami evolusi dari pekan kecil hingga pesat membangun.
"Laluan sekarang merupakan laluan baharu, berbanding sebelum ini laluan asalnya adalah belakang pasar Semenyih, apabila laluan yang dibuat oleh British itu roboh maka wujud lah laluan baharu,” katanya.
Menurutnya, asal laluan lama tersebut adalah diperbuat daripada kayu sebelum digantikan dengan batu ada zaman British.
"Jambatan kayu itu pernah roboh kerana tidak mampu menampung beban gajah yang melalui jambatan tersebut. Orang asli kawasan itu membantu dalam misi untuk mengeluarkan gajah yang terjatuh itu, saya difahamkan kisah mengenai insiden ini pernah direkodkan dan masih tersimpan di arkib Negara,” katanya.
Azril Nurman berkata, Semenyih juga pernah menjadi kawasan aktiviti melombong bijih timah.
"Saya dimaklumkan Pengarah Pusat Warisan Komuniti Kajang, Lee Kim Sin pernah menemui lokasi aktiviti melombong bijih timah di Bukit Arang.
"Pada 1890-an, lebih banyak kawasan lombong bijih timah dibuka iaitu sekitar Kajang, Semenyih dan Hulu Langat,” katanya.
Digelar 'black area'
Beliau berkata, Semenyih juga pernah terkenal dengan kawasan ‘black area’ pada zaman darurat, khususnya di Kampung Kachau.
"Pada 2 November 1948, rumah dan gudang getah di sebuah ladang, Hulu Semenyih dibakar oleh pengganas komunis.
"Sebagai tindak balas, Kampung Kachau pula telah dibakar oleh pasukan keselamatan pada malam tersebut kerana disyaki menjadi tempat persembunyian komunis yang menyerang ladang getah, lombong bijih timah dan rumah majikan British,” katanya.
Menurutnya, masyarakat di kampung itu dipercayai telah diarahkan pindah ke pekan Semenyih, Seremban dan Johor.
"Sebahagian daripada mereka pula diarahkan berpindah ke Kampung Baru Semenyih,” katanya.
Beliau berkata, pada Januari 1950, seorang pemimpin komunis bernama Abdul Manan telah ditembak mati.
"Abdul Manan pernah berhubung dengan penduduk Kampung Kachau. Akibatnya 60 penduduk setinggan Semenyih ditahan oleh polis atas tuduhan memberi bantuan kepada komunis,” katanya.
Menurutnya, Sungai Semenyih juga mempunyai kisah keberanian Rusnah Aksah menyelamatkan seorang kanak-kanak Cina yang lemas di sungai itu.
"Rusnah adalah penerima Pingat Hang Tuah pada 6 Oktober 1962 daripada Yang di-Pertuan Agong ketiga Tuanku Syed Putra Jamalullail,” katanya.
Azril Nurman berkata, Rusnah merupakan penerima ketiga pingat itu selepas diperkenalkan pada 1960, dan kekal menjadi penerima perempuan tunggal, daripada semua 18 penerima, sebelum anugerah itu ditamatkan pada 1978.
"Pingat Hang Tuah yang dianugerahkan kepada Rusnah adalah sebagai menghargai tindakannya menyelamatkan seorang kanak-kanak berusia tiga tahun, Tan Kim Cheng yang lemas di Sungai Semenyih berhampiran dengan berek polis kediaman keluarganya, pada 24 Feb 1961,” katanya.
Menurutnya, kejadian itu boleh menjadi simbolik perpaduan kaum di Semenyih.
"Ia merupakan salah satu contoh perpaduan kaum yang erat, pihak berkenaan seharusnya membuat satu tugu peringatan di lokasi berkenaan agar kisah tersebut menjadi tanda ingatan untuk generasi pada masa kini,” katanya.