KUALA LUMPUR - Gara-gara memukul seorang pengurus syarikat swasta menggunakan sebatang kayu sehingga lelaki itu mengalami kecederaan, seorang kontraktor didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Selayang di sini pada Rabu.
Majistret, Nik Mohd Fadli Nik Azlan menjatuhkan hukuman itu ke atas Siew Foong Yew @ Lean Foong Yew, 37, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut dan memerintahkan lelaki berkenaan menjalani hukuman penjara enam bulan, jika dia gagal membayar denda.
Iklan
Iklan
Tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan sebatang kayu ke atas Choong Chee Meng, 38, di hadapan sebuah rumah di Jalan SA 1 Seri Aman Height di sini pada 3 pagi, 16 Mac lepas, mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman terbabit.
Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian mangsa telah pergi ke rumah tertuduh setelah teman wanitanya memaklumkan berada di rumah tertuduh.
Namun, tertuduh mengatakan bahawa teman wanita mangsa tiada di situ menyebabkan berlaku pertengkaran di antara mereka dan tertuduh kemudiannya masuk ke dalam rumah dan mengambil sebatang kayu lalu memukul tangan kanan serta kepala mangsa beberapa kali sehingga berdarah.
Pada prosiding itu, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Khairunnisak Hassni manakala Siew tidak diwakili peguam. - Bernama