AKSB akan bina paip khusus atasi masalah air di HRPZ II

Iklan
Laporan Sinar Harian pada 21 Mac lalu.

KOTA BHARU – Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dalam perancangan untuk membina paip khusus (dedicated pipeline) dari Tangki Merbau ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) bagi mengatasi masalah gangguan bekalan air terawat di hospital tersebut.

Exco Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti Kelantan, Datuk Sr Azami Mohd Nor berkata, tender bagi projek tersebut sudah diiklankan pada 11 Februari dan ditutup pada 9 Mac lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, keputusan penilaian tender akan dibentangkan kepada Jawatankuasa Tender Lembaga Pengarah AKSB pada 23 Mac 2021.

"Anggaran kos projek ini ialah RM800,000 dengan tempoh pelaksanaan selama dua bulan.

"Paip khusus ini akan memastikan jaminan agihan bekalan air terawat dari Tangki Merbau ke semua tangki di Kompleks HRPZ II. Selain itu, kita akan membina sebuah telaga tiub berkapasiti 1.5 juta liter sehari (JLH) bagi menambah sumber air mentah ke Loji Rawatan Air (LRA) Kampung Puteh.

Iklan

"Ia akan meningkatkan pengeluaran LRA Kampung Puteh dan seterusnya meningkatkan agihan bekalan air terawat ke Tangki Merbau. Dokumen untuk perolehan ini sedang disediakan dan tender dirancang diiklankan pada April 2021,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Selain itu, beliau berkata, sistem agihan air terawat di bandar Kota Bharu akan ditingkatkan melibatkan Kompleks HRPZ II sebaik sahaja siap Projek LRA Kampung Telok pada Mei 2021 dan Projek Penambahan Sumber Air Mentah Medan Telaga Tok Jaafar ke LRA Pintu Geng pada Ogos 2021.

Iklan

Pengerusi Lembaga Pengarah AKSB itu berkata, kedua-dua projek itu akan mengurangkan kawasan agihan air terawat dari LRA Kampung Puteh dan LRA Tanjung Mas.

"AKSB akan memastikan perancangan ini dapat direalisasikan sebagaimana dijadualkan. Dengan terlaksananya perancangan ini, gangguan bekalan air terawat di Kompleks HRPZ II akan diatasi.

"Pada masa sama, pihak HRPZ II disyorkan dapat menjalankan audit ke atas penggunaan air terawat di premis mereka berdasarkan 11 akaun dan meningkatkan kecekapan agihan air di dalam kompleks hospital berkenaan.

"Analisa penggunaan air terawat menunjukkan kadar penggunaan air per kapita yang tinggi dan kadar kehilangan air yang tinggi dalam sistem agihan di Kompleks HRPZ II,” kata beliau.

ARTIKEL BERKAITAN: HRPZ II berdepan masalah air sejak 10 tahun lalu