SINGAPURA - Mahkamah Tinggi Singapura memerintahkan penulis blog yang juga penasihat kewangan Leong Sze Hian membayar S$133,000 kepada Perdana Menteri Lee Hsien Loong atas kesalahan fitnah, lapor The Straits Times pada Rabu.
Jumlah itu merangkumi S$100,000 sebagai ganti rugi am dan S$33,000 untuk ganti rugi teruk, demikian menurut laporan tersebut.
Iklan
Iklan
Menurut laporan itu, Leong disaman kerana berkongsi artikel terbitan sebuah portal berita Malaysia, The Coverage, yang secara palsu mengaitkan Lee dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), menerusi laman sosial Facebooknya.
Laporan itu memetik Hakim Aedit Abdullah dalam penghakiman bertulisnya sebagai berkata, Sze Hian berbuat demikian"tanpa bertanya tentang kebenaran artikel tersebut” dan mempamerkan"rasa tidak peduli sama ada artikel itu benar atau tidak.”
"Apabila dilihat secara bersama dengan keengganannya meminta maaf atas kenyataan fitnah itu, boleh disimpulkan wujud unsur niat jahat,” kata hakim itu yang dipetik oleh laporan berkenaan.
Prosiding kes itu berlangsung pada Oktober tahun lepas.- Bernama