Kedah rai kepulangan Zii Jia selepas selesai kuarantin

Iklan
Muhammad Sanusi (tengah) pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco Kedah di Wisma Darul Aman, Alor Setar pada Rabu.

KERAJAAN negeri Kedah akan mengadakan sambutan khas meraikan Lee Zii Jia selepas juara Kejohanan Seluruh England 2021 itu selesai menjalani kuarantin sebaik pulang ke tanah air menerusi penerbangan Turkish Airlines pada Selasa.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kerajaan negeri amat berbangga dengan kejayaan anak jati Kedah itu dan sambutan wira tanah air akan dilakukan selepas ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pihaknya juga akan memberikan insentif kepada Zii Jia atas pencapaiannya muncul sebagai juara kejohanan berkenaan pada Ahad lepas.

"Selepas Zii Jia menjalani kuarantin di Kuala Lumpur, kita akan adakan sambutan dan anugerah khas terhadapnya. Bagaimanapun maklumat lanjut buat ini semua itu adalah rahsia.

Iklan

"Kita harap orang dapat bersabar, malah kita juga merancang untuk memberi insentif kepadanya, namun dalam bentuk apa masih dipertimbangkan dan dirahsiakan," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco Kedah di Wisma Darul Aman di Alor Setar pada Rabu.

Muhammad Sanusi berkata, Zii Jia yang berusia 23 tahun merupakan contoh anak muda di negeri ini yang berjaya dalam bidang sukan hasil sokongan kuat keluarga dan tahap disiplin yang tinggi.

Iklan

"Jadi, ibu bapa memiliki anak berkebolehan dan berkemahiran dalam bidang sukan diharapkan dapat memberi sokongan kepada anak masing-masing agar mereka cemerlang dalam bidang ini," katanya.

Sementara itu, Muhammad Sanusi menjelaskan bahawa foto beliau bermain badminton bersama Zii Jia yang dimuat naik di Facebooknya adalah sekadar suka-suka sahaja.

"Kami bukan lawan betul-betul pun. Malah Zii Jia pun hanya guna tidak sampai 30 peratus tenaga. Itu pun belum tentu saya dapat kalahkannya. Saya hanya bergurau semata-mata," katanya.

Pada Ahad, Zii Jia muncul juara Kejohanan Seluruh England 2021 selepas menumpaskan bekas juara dunia dan pemain nombor dua dunia, Viktor Axelsen dari Denmark dalam aksi sengit 30-29, 20-22 dan 21-9.