BUKIT MERTAJAM - Kertas siasatan membabitkan kes sekumpulan pegawai polis yang melepaskan suspek Macau Scam pada bulan lepas, hampir siap dan akan diserah kepada Pengarah Pendakwaan Negeri untuk tindakan lanjut.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abd Manan berkata, pihaknya ketika ini hanya menunggu laporan daripada Jabatan Kimia berhubung tandatangan yang terdapat pada beberapa dokumen. kononnya untuk menyerah 11 suspek warga China kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
"Siasatan kes itu sebenarnya telah siap, cuma sekarang ini kami hanya menunggu laporan daripada Jabatan Kimia sahaja lagi...laporan itu berkaitan tandatangan yang terdapat pada dokumen yang mereka gunakan dalam kes tersebut.
"Kami menjangkakan kertas siasatan kes tersebut dapat dihantar kepada Pengarah Pendakwaan Negeri dalam masa terdekat, untuk tindakan selanjutnya,” katanya kepada Bernama di sini pada Rabu.
Katanya polis juga sedang menjalankan siasatan lanjut, sama ada empat pegawai polis yang disiasat dalam kes itu pernah terlibat dalam kes sedemikian sebelum ini.
"Cuma setakat ini, polis terima satu laporan polis membabitkan kumpulan pegawai (polis) tersebut, namun kami masih menjalankan siasatan lanjut terhadap mereka sama ada terlibat kes sedemikian sebelum ini,” katanya.
Sahabudin berkata siasatan kes itu dijalankan menurut Seksyen 217 Kanun Keseksaan.
Empat pegawai polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut yang berpangkat ASP dan inspektor, telah ditahan pada 12 Feb dan 15 Feb lalu, bagi membantu siasatan kes tersebut.
Polis kemudian menahan tiga orang awam dan seorang kakitangan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), yang mana semua lapan lelaki berusia 20 hingga 60-an tersebut dibebaskan dengan jaminan polis, sementara pihaknya melengkapkan kertas siasatan.
Dalam kejadian itu, seramai 11 tahanan Macau Scam berkenaan dikatakan diserahkan kepada seorang 'pegawai' JIM, untuk dihantar ke depoh tahanan tetapi tidak dihantar seperti sepatutnya.
Siasatan setakat ini mendapati, terdapat pelanggaran serius kepada prosedur operasi standard (SOP) pegawai polis, dalam pengendalian serta penyerahan semua 11 suspek Macau Scam dan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman. akan mengesyorkan, supaya pegawai terbabit ditahan kerja untuk membolehkan siasatan yang lebih terperinci dijalankan. - Bernama