KUANTAN – Seramai tujuh daripada 17 pekebun tembikai di Kampung Ubai, disini menanggung kerugian ratusan ribu ringgit apabila kebun seluas 11 hektar yang diusahakan mereka ditenggelami banjir sejak petang Selasa.
Projek penanaman tembikai itu diusahakan 17 pekebun di atas tanah seluas 26 hektar, namun sebahagian daripadanya ditenggelami air antara 0.3 hingga 0.6 meter (m)
Salah seorang pekebun yang terjejas, Mohd Nordin Abd Mutalib, 44 berkata, sebanyak 2,800 pokok tembikai susu yang ditanam di kebun miliknya seluas 0.8 hektar itu ditenggelami air sedalam 0.6 m.
"Pokok tembikai saya itu baharu berusia 23 hari, kalau ikutkan, saya boleh mengutip hasil pertama pada April.
"Tetapi ia berlaku sebaliknya, mahu atau tidak saya terpaksa akur dan pasrah dengan ketentuan ALLAH," katanya ditemui di kebunnya di Kampung Ubai pada Rabu.
Mohd Nordin berkata, dia terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM8,000 sekali gus menyebabkan pendapatannya hilang selepas semua pokok yang ditanam ditenggelami air.
Tambahnya, dia terpaksa mengeluarkan modal baharu untuk membuat tanaman semula, selepas air di kawasan itu mulai surut.
"Kalau ikutkan kawasan ini mudah ditenggelami air pada musim tengkujuh dan saya tidak akan menanamnya pada waktu itu.
"Ini kali pertama berlaku kenaikan air di kebun dan saya percaya ia mungkin berpunca daripada saliran perparitan yang tidak diselia selepas berlaku banjir pada musim tengkujuh awal tahun ini,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi pekebun, Muhammad Fadhli Osman, 33, berkata, hampir keseluruhan kebun seluas 1.2 hektar miliknya itu turut ditenggelami air.
Katanya, ia telah merosakkan 5,000 pokok tembikai jenis boci yang ditanamnya.
"Saya jangkakan mampu memperoleh hasil buah sebanyak 50 tan pada April depan dengan pendapatan kira-kira RM100,000.
"Bagaimanapun hari ini, saya terpaksa menanggung kerugian berjumlah RM15,000 termasuk kos menanam dan upah pekerja," katanya.
Dia berharap pihak berkuasa dapat melakukan penyelenggaraan sistem saliran perparitan di kawasan ini supaya kejadian ini tidak berulang lagi.