Kerajaan komited martabat peranan, fungsi APM: PM

Iklan
Tan Sri Muhyiddin Yassin

KAJANG - Kerajaan komited untuk memartabat peranan dan fungsi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta memastikan kebajikan warga APM sentiasa terbela menerusi Jabatan Perdana Menteri, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri berkata, pelbagai langkah proaktif akan terus diambil bagi meningkatkan keberkesanan perkhidmatan APM dan antaranya dengan memperluaskan operasi kecemasan dan bencana yang meliputi operasi khas bersepadu merentasi agensi.

Iklan
Iklan

Langkah itu, katanya, bertujuan untuk memerangi pandemik Covid-19 khususnya di stesen atau pusat kuarantin, kawalan sempadan serta menerusi program pemerkasaan komuniti.

Muhyiddin berkata demikian pada majlis sambutan Hari Ulang Tahun Pertahanan Awam Malaysia Ke-69 tahun (HUTPA-69) serta perasmian bangunan baharu Ibu Pejabat APM di sini pada Rabu.

Iklan

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof dan Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Roslan Wahab.

Muhyiddin berkata, dalam memperkukuh peranan APM sebagai benteng pertahanan negara khususnya dalam menyediakan perkhidmatan kemanusiaan di waktu kecemasan atau bencana, kerajaan juga akan meneliti beberapa cadangan dan inisiatif.

Iklan

Antara inisiatif itu ialah pembinaan kompleks pejabat dan pusat latihan di Perak, Sabah dan Sarawak untuk dilaksanakan dalam Rolling Plan 2 menerusi Rancangan Malaysia ke-12, yang bakal menjadi pusat pemindahan sementara penduduk yang terkesan akibat bencana serta dilengkapi Sistem Amaran Awam.

Selain itu, katanya, kerajaan turut mempertimbangkan penambahbaikan atau penstrukturan semula jawatan tetap di pejabat-pejabat negeri dan daerah melalui Sekretariat Pengurusan Bencana.

Beliau difahamkan kini hanya terdapat 578 pegawai yang memegang jawatan tetap bagi pengurusan bencana di lapangan.

"Selaras dengan inisiatif kerajaan, saya berharap APM dapat terus memainkan peranan untuk meningkatkan kesiapsiagaan masyarakat setempat dalam menghadapi sebarang bentuk bencana dan kecemasan di peringkat negeri, daerah sehingga ke akar umbi,” katanya.

Ini termasuklah turun ke lapangan dengan kerap untuk mendidik atau mengadakan libat urus bagi meningkatkan kesedaran orang ramai, di mana langkah tersebut dapat memastikan mereka bersedia bertindak sebagai ‘first-responder’ apabila berdepan dengan situasi kecemasan seperti bencana atau kebakaran, katanya.

Muhyiddin berkata, sebagai ahli tetap dalam Pertubuhan Pertahanan Awam Antarabangsa (ICDO) sejak 2010, APM telah menjadi sebuah organisasi pertahanan awam yang merupakan tunjang dalam kegiatan kesukarelawanan di Malaysia.

"Para anggota dan sukarela APM telah menzahirkan komitmen yang tinggi merentasi semua peringkat dan bertungkus-lumus siang dan malam khususnya dalam pengurusan bencana dan kecemasan seperti misi kemanusiaan atau perlindungan awam semasa bencana banjir," katanya.

Menurutnya, sepanjang pandemik Covid-19, anggota APM telah mencurahkan khidmat bakti dan menggalas tanggungjawab yang besar sebagai anggota barisan depan dalam membantu usaha kerajaan mengekang penularan wabak itu.

"Saya maklum ramai dalam kalangan warga APM yang telah dan akan digerakkan khususnya ke kawasan luar bandar dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang kini sedang giat dijalankan. Ini termasuklah membantu masyarakat setempat untuk melakukan pendaftaran vaksin," katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin mahu warga APM memanfaatkan fasiliti dan kemudahan yang ada dengan sebaik-baiknya.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan watikah Pegawai Kehormat APM kepada tujuh penerima yang diketuai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman yang membawa pangkat Pesuruhjaya Kehormat.

Beliau turut menyampaikan watikah Pegawai Kehormat APM masing-masing membawa pangkat Penolong Pesuruhjaya Kehormat kepada Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Zainal Abidin Razali, Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) Dr Khairil Anwar Abu Kassim, Timbalan Rektor/Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Profesor Dr Ahmad Faris Ismail dan Pengerusi Giatmara Malaysia Datuk Abdul Halim Mansor.

Muhyiddin turut menyampaikan watikah Pegawai Kehormat APM masing-masing membawa pangkat Kolonel Kehormat kepada Timbalan Ketua Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah (Pengurusan) Syed Shaharuddin Syed Abdullah dan Presiden dan Guru Utama Persekutuan Seni Silat Cekak Pusaka Ustaz Hanafi Malaysia Syeikh Dr Mr Radzi Hanaf. - Bernama