483 anggota APM Kedah selesai disuntik vaksin

Iklan
Awang Askandar (depan, kiri) dan Juhari (depan, tengah) bersama anggota APM Kedah selepas mengikuti perasmian HUTPA ke-69 di Pejabat Daerah Pertahanan Awam Kota Setar di Alor Setar pada Rabu.

ALOR SETAR - Seramai 483 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah sudah menerima suntikan vaksin Covid-19 secara berperingkat di setiap daerah di negeri ini.

Pengarah APM Kedah, Leftenan Kolonel (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacub berkata, jumlah yang divaksinkan itu terdiri daripada 618 anggota yang mendaftar melalui aplikasi MySejahtera.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, baki anggota yang sudah mendaftar tetapi belum menerima suntikan dijangka selesai pada April ini.

"Kami sebagai anggota barisan hadapan negara telah disenaraikan dalam fasa pertama penerima vaksin.

Iklan

"Setakat ini seramai 618 anggota APM Kedah telah mendaftar dan 483 orang telah divaksin,"katanya pada sidang akhbar sempena sambutan Hari Ulang Tahun Pertahanan Awam (HUTPA) ke-69 Peringkat Negeri Kedah di Pejabat Daerah Pertahanan Awam Kota Setar di Anak Bukit di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, anggota APM akan terus bersemangat dan berdedikasi tinggi dalam melaksanakan tugas semasa negara berdepan pandemik Covid-19.

Iklan

Awang Askandar sebelum itu bersama Kolonel Kehormat (PA) Juhari Bulat yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah dan anggota APM Kedah mengikuti perasmian HUTPA ke-69 yang disempurnakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin secara maya.